X

Kindly register in order to view this article
!

Program Pemuda UMNO, PKR bertembung di Pasir Gudang

Noor Azleen (tengah) dan Hassan (kiri) bertemu semasa mereka kebetulan mengadakan program di kawasan yang sama iaitu di Kampung Sungai Rinting D, Pasir Gudang hari ini.
A
A

PASIR GUDANG - Program anjuran Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang bertembung dengan program Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang kebetulan kedua-duanya diadakan di Kampung Sungai Rinting D di sini hari ini.

Program Pemuda Bantu Rakyat anjuran Pemuda UMNO bahagian itu bagi memberikan bantuan kepada mangsa banjir di kampung tersebut manakala program Hassan pula meninjau kawasan banjir yang juga di kawasan berkenaan.

Jarak kedua-dua program yang diadakan pada jam 9.30 pagi itu hanya kira-kira 100 meter tetapi pertembungan tidak menghalang dua ahli parti terus menjalankan tanggungjawab dalam suasana harmoni serta beramah mesra.

Menurut Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Noor Azleen Ambros, program tersebut melibatkan 150 keluarga dari kawasan Pasir Gudang dan Johor Jaya yang terjejas akibat banjir minggu lalu menerima bantuan sumbangan mereka.

Seorang warga emas melihat keadaan rumahnya di Kampung Sungai Rinting D, Pasir Gudang, dinaiki banjir pada Sabtu lalu.
Seorang warga emas melihat keadaan rumahnya di Kampung Sungai Rinting D, Pasir Gudang, dinaiki banjir pada Sabtu lalu.

Jelasnya, seramai 30 sukarelawan menyertai Program Pemuda Bantu Rakyat di Kampung Sungai Rinting, Kampung Sepakat, Taman Kota Puteri dan Jalan Cenderai Taman Megah Ria pada hari ini.

"Menerusi aktiviti ziarah ini, kita dapat mendengar luahan masyarakat dalam mengenal pasti dan mencari jalan penyelesaian mengelakkan banjir berulang.

"Kita kena tengok balik sistem saliran, sistem perparitan dan perangkap sampah yang boleh menjadi faktor isu ini. Itu semua perlu diambil kira bagi mencari penyelesaian secara menyeluruh," katanya.

Noor Azleen berkata, Program Pemuda Bantu Rakyat itu akan diteruskan esok dengan mengadakan ziarah di kawasan Johor Jaya melibatkan Kampung Saujana Baru, Taman Seri Pandan dan beberapa kawasan lain.

Katanya, sumbangan yang diberikan ialah makanan kering serta wang tunai.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Pasir Gudang meningkatkan kualiti pentadbiran mereka agar selari dengan status Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang dinaik taraf pada 22 November lalu.

"Harapan saya Pasir Gudang yang berstatus Majlis Bandaraya hari ini dapat melihat isu terbabit dengan lebih serius.

"Isu banjir kilat itu tidak seharusnya terus membelenggu penduduk. Saya rasa ini bukanlah satu ciri sebuah bandar raya yang maju dan mampan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!