Tiga remaja cedera diserang ahli 'Geng 66'

Tangkapan layar kejadian tiga remaja diserang sekumpulan individu dalam kejadian di sebuah restoran di Lintas Plaza, Kota Kinabalu malam tadi.
Tangkapan layar kejadian tiga remaja diserang sekumpulan individu dalam kejadian di sebuah restoran di Lintas Plaza, Kota Kinabalu malam tadi.
A
A
A

KOTA KINABALU - Keseronokan tiga remaja menjamu selera di sebuah restoran di Lintas Plaza di sini terganggu apabila mereka secara tiba-tiba diserang sekumpulan lelaki dipercayai ahli 'Geng 66' malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, tiga remaja berusia 14 tahun itu cedera akibat diserang menggunakan kerusi oleh 10 individu selepas mereka tidak berpuas hati dengan cara mangsa menolak untuk menyertai kumpulan mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Rakhman berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang menjamu selera di restoran berkenaan sebelum didatangi kumpulan terbabit.

"Salah seorang daripada kumpulan penyerang itu bertanyakan kepada ketiga-tiga mangsa dari kumpulan mana, namun menerangkan mereka bukan dari mana-mana kumpulan serta tidak mahu menyertai mana-mana kumpulan.

"Ketiga-tiga mangsa kemudian terus diserang menggunakan kerusi oleh kumpulan berkenaan sebelum ditenangkan oleh pemilik restoran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

George berkata, akibat kejadian itu, seorang mangsa mengalami kecederaan lebam di mata kiri dan siku kanan, manakala dua lagi rakannya turut cedera di tangan dan lebam di mata.

"Semua mangsa dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut mendapati salah seorang mangsa mengenal pasti suspek yang mulakan rusuhan itu dan hasil semakan dengan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya mengenalpasti beberapa suspek yang terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

George berkata, usaha mengesan dan menahan semua suspek yang terbabit sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menyalurkan kepada pegawai penyiasat IPD Kota Kinabalu, Inspektor P. Palani Nathan di talian 016-4122835," katanya.