Pemandu lori maki polis ditahan

Gambar kecil: Nik Ezanee Mohd Faisal
Gambar kecil: Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau direman tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis bantuan yang bertugas di Uptown Kota Damansara, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian itu anggota terbabit didatangi dua lelaki yang menaiki lori untuk menurunkan muatan tong gas.

"Bagaimanapun, mereka telah ditegur dan dihalang untuk memasuki laluan tersebut kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Pemandu lori itu kemudian mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, bertindak hasil maklumat, polis telah menahan suspek berusia 39 tahun itu kira-kira jam 2.30 petang pada keesokan harinya di Seksyen 8, Petaling Jaya.

Katanya, soal siasat suspek tidak mengaku terlibat dalam kes tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berlainan, seorang lelaki ditahan kira-kira jam 11.45 malam semalam di selepas dipercayai memukul seorang pengawal keselamatan di Seksyen 5, Kota Damansara, di sini dengan bersenjatakan sebatang besi.

Tambahnya, suspek berusia 27 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian kerana mangsa menahan dan bertanyakan kepada rakannya berkenaan kad akses untuk keluar daripada kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Suspek telah direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.