Kerjasama strategik elak monopoli

Dr Mohd Radzi Md Jidin. - Foto Bernama
Dr Mohd Radzi Md Jidin. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pengukuhan kerjasama strategik antara usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera termasuk penglibatan semua peserta industri mampu mewujudkan perniagaan tulen dan persaingan sihat dalam pasaran terbuka, bukan sahaja industri peruncitan tetapi pemborongan dan pembuatan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata usaha itu juga akan menggalakkan serta melindungi persaingan dan mengelak monopoli sekaligus menyediakan peluang pasaran yang lebih adil kepada semua kaum.

“Langkah ini dilihat akan memperkukuh pertumbuhan sosioekonomi, meletakkan perniagaan pada kedudukan lebih baik dan mampan di dalam dan luar negara melalui peningkatan produktiviti yang menyediakan peluang kepada semua pihak,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohd Radzi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad bin Hamzah (BN-Jasin) untuk memecahkan monopoli kaum dalam ‘supply chain’ agar ia lebih inklusif dan adil.

Beliau menambah kerajaan sangat mengharapkan agar semua pihak berkepentingan khususnya agensi kerajaan dan pemain industri berganding bahu dalam mewujudkan pasaran lebih cekap sekaligus menyelesaikan hal berkaitan monopoli.
Artikel Berkaitan:


Mohd Radzi berkata kerajaan pada 20 Jun lepas menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Menteri bagi kajian semula Dasar Monopoli Perkhidmatan dan Bekalan yang dipengerusikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan berperanan merancang dan mengenal pasti keperluan perubahan dasar dan strategi serta mengkaji semula semua perjanjian konsesi perkhidmatan dan bekalan kerajaan yang bersifat monopoli untuk mencipta pasaran yang lebih efektif, telus, mesra pasaran dan berdaya saing.

Kerajaan juga sentiasa melaksanakan inisiatif dalam membantu para usahawan yang berkecimpung dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bersaing dalam pasaran sihat menerusi pelbagai program pembiayaan dan peruntukan dana terbuka kepada semua kaum. - Bernama