X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan pastikan Malaysia kekal menarik pelabur asing, domestik

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada program Ruang Bicara bertajuk 'Belanjawan 2021: Kemenangan Rakyat' terbitan Bernama TV di Wisma Bernama hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk kedua-dua pelaburan langsung asing dan domestik, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Pelaburan penting untuk Malaysia dan kerajaan akan memastikan ia tetap menarik untuk kedua-dua pelabur asing dan domestik,” katanya menerusi program Ruang Bicara Bernama TV hari ini.

Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM1 bilion bagi menyediakan pakej insentif khas untuk teknologi nilai tambah tinggi di bawah Belanjawan 2021.

"Dana ini bertujuan menyokong pelaburan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam aeroangkasa serta kluster elektronik seperti di taman perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah," katanya.

Tengku Zafrul turut menekankan perlunya automasi dan digitalisasi bagi menggerakkan ekonomi negara ke hadapan.

"Selain itu, Dana Teknologi Tinggi bernilai RM500 telah disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyokong syarikat-syarikat teknologi tinggi dan inovatif,"katanya.

Dana ini akan membolehkan Malaysia berdaya saing dan mengekalkan kedudukannya dalam ekosistem rantaian bekalan global serta melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul juga berkata, kerajaan komited menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk aktiviti perkhidmatan bernilai tinggi.

Inisiatif untuk ini termasuk melanjutkan insentif cukai Hab Prinsipal sehingga 31 Disember 2022 dan insentif cukai baharu untuk mewujudkan Pusat Dagangan Global pada kadar konsesi 10 peratus untuk lima tahun dan tempoh pembaharuan untuk lima tahun lagi.

Selain itu, kerajaan telah memperuntukkan RM500 juta untuk melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara, Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk menyediakan kesalinghubungan bagi 430 sekolah seluruh negara.

Pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperuntukkan RM7.4 bilion untuk tahun 2021 dan 2022 bagi membangunkan dan menambah baik perkhidmatan jalur lebar.

Sementara itu, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dijangka berjumlah RM16 bilion hingga RM17 bilion menyusut daripada RM37.5 bilion pada 2019.

Akhbar Star melaporkan untuk tahun 2021, aliran masuk FDI diunjur untuk meningkat secara beransur-ansur tetapi masih jauh di bawah paras sebelum pandemik, dengan purata RM41.1 bilion setahun pada 2015-2019.

Dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan dan langkah-langkah selanjutnya diambil untuk membendung penularan COVID-19, Tengku Zafrul berkata Malaysia masih menerima FDI walaupun lebih rendah.

"Namun begitu, pelaburan dan eksport kita meningkat kerana kita terus melibatkan diri dengan para pelabur menerusi pendigitalan. Contohnya, keseluruhan mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dijalankan secara maya. Maka, kita akan terus berbuat sedemikian.

Oleh itu, langkah-langkah dan pendekatan serupa itu akan terus diambil untuk memastikan aliran masuk FDI ke dalam negara, kata beliau.

“Pemasaran Malaysia sebagai destinasi pelaburan perlu diteruskan dan oleh itu, peruntukan juga berterusan diberikan agar usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan sentiasa ada,” kata Tengku Zafrul. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!