X

Kindly register in order to view this article
!

Pos kawalan ATM sedia ada mampu pertahankan sempadan

Arman (dua dari kiri) ketika membuat lawatan di pos kawalan dalam kawasan Ops Pagar II di sempadan Bukit Kayu Hitam hari ini.
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan kesiapsiagaan anggota termasuk pengukuhan rondaan di 'lorong tikus' bagi mengawal sempadan Malaysia-Thailand daripada dibolosi penyeludup.

Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, seramai 80 hingga 100 anggota daripada Batalion Infantri ditugaskan di sempadan dalam Ops Pagar II yang melibatkan kawasan sepanjang 24 kilometer itu.

Beliau berkata, terdapat 12 pos kawalan yang dijaga oleh ATM dalam kawasan operasi berkenaan bermula dari Bukit Kayu Hitam sehingga daerah Padang Terap.

"Setakat ini jumlah pos yang ada masih mampu melaksanakan tugasan diberikan untuk mempertahankan sempadan kita.

"Bagaimanapun, kita akan melihat kesesuaian untuk kita melakukan penambahan pos secara fizikal seperti yang disarankan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya pada sidang akhbar di Kem Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Arman (tiga dari kiri) memberi semangat kepada anggota ATM yang bertugas di pos kawalan di sempadan Bukit Kayu Hitam hari ini.
Arman (tiga dari kiri) memberi semangat kepada anggota ATM yang bertugas di pos kawalan di sempadan Bukit Kayu Hitam hari ini.

Beliau berkata, sekiranya didapati terdapat cubaan membina 'laluan tikus' pada pagar sempadan oleh penyeludup, pihaknya akan segera menutupnya untuk mengelakkan berlakunya aktiviti penyeludupan.

"Kita mengadakan rondaan secara berkala, oleh itu jika ternampak ada cubaan 'laluan tikus' dibina, kita akan cepat-cepat tutup semula," katanya.

Menurutnya, beliau dan anggota ATM tidak akan sesekali luntur semangat dengan kejadian serangan oleh penyeludup ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Selasa dan Rabu lalu.

"Pasukan ATM sentiasa bersemangat tinggi meskipun berhadapan ancaman serangan dari penjenayah.

"Malah dalam usaha mengetatkan kawalan sempadan, ATM juga sentiasa mengadakan perkongsian maklumat bersama agensi kawalan lain termasuk PGA, Polis Diraja Malaysia dan pasukan tentera negara jiran," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Lagi anggota PGA ditembak di sempadan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!