Krisis Bersatu-UMNO ujian penyatuan parti Melayu: Muhyiddin

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Isu UMNO - Bersatu yang dilihat 'tidak sebulu' sebagai ujian yang perlu dihadapi semua pemimpin politik Melayu demi pengukuhan dan penyatuan ummah.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui keadaan yang berlaku antara Bersatu-UMNO telah menimbulkan tidak puas hati sesetengah pihak tetapi berharap ahli Bersatu mengambil iktibar di sebalik penyatuan itu.

"Apa yang saya nak sentuh ialah hubungan antara Bersatu dan UMNO yang dianggap hambar, tidak mesra, tidak akrab. Seolahnya, masih belum ada 'chemistry' antara Bersatu dan UMNO.

"Saya tahu mungkin ada pihak yang tidak selesa dengan keadaan ini. Seolahnya, mereka dipaksa atau terpaksa untuk bekerjasama. Maka, timbul pelbagai perkara yang tidak elok didengar dalam hubungan antara kedua-dua parti ini.

"Kemelut politik yang sedang kita hadapi ini satu ujian yang didatangi oleh ALLAH SWT kepada kita. Sebagai seorang Islam, saya percaya ada kebaikan di sebalik ujian getir ini. Di hadapan kita terbentang luas peluang untuk kita mempersatukan umat Melayu dan Islam di negara kita yang telah mengalami perpecahan politik sejak sekian lama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2020 yang dibuat secara maya dan dipancarkan secara langsung melalui Facebook parti itu hari ini.

Muhyiddin pada masa sama mengingatkan semua ahli Bersatu memberi tumpuan kepada kepentingan yang lebih utama.

"Sedarlah, krisis politik yang berlaku di negara kita awal tahun ini telah mempertautkan pimpinan politik Melayu dalam Bersatu, UMNO dan Pas dalam satu saf politik yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Pada saya, pertautan ini satu langkah awal untuk mewujudkan penyatuan ummah yang lebih besar.

"Alangkah baiknya jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah-belah dalam kabilah kecil yang melemahkan kita," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan daripada parti politik lain yang berhasrat untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

"Ini akan menjadikan PN sebagai sebuah gabungan politik yang berciri nasional serta mewakili kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

"Asasnya mudah. Kita tidak boleh bersendirian. Kita memerlukan rakan-rakan daripada parti politik yang lain untuk menghadapi pilihan raya dan membentuk kerajaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin ada hasrat bubar Parlimen