Covid-19: PKRC dibuka di Kinta hari ini

Satu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka di Arena Badminton di daerah Kinta di sini hari ini. Gambar hiasan.
Satu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka di Arena Badminton di daerah Kinta di sini hari ini. Gambar hiasan.
A
A
A

IPOH - Satu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka di Arena Badminton di daerah Kinta di sini hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut hantaran dalam Facebook beliau, Dr Noor Hisham berkata, PKRC dengan 160 katil iaitu masing-masing 80 katil untuk lelaki dan wanita bertujuan merawat pesakit bagi kes kategori 1 dan 2.

“Ini semestinya akan membantu mengurangkan beban hospital utama. Walaupun kita melakukan yang terbaik untuk menangani situasi koronavirus (Covid-19), kita tahu bahawa kita harus berusaha sebaik mungkin untuk terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk pesakit bukan Covid-19 juga,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Kementerian Kesihatan dan menghargai kerjasama rapat mereka dengan kementerian dan agensi lain untuk membendung penularan Covid-19 di negara ini.

Setakat tengah hari tadi, Perak merekodkan 1,498 kes positif Covid-19 dengan 13 kematian.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Dr Noor Hisham berkata, beliau berkesempatan membuat lawatan kerja di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Jalan Teratai, Klang, Selangor pagi tadi bersama-sama pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan lain.

Kawasan PKPD di Jalan Teratai terbahagi kepada dua sektor iaitu Sektor A dan Sektor B dengan setiap sektor menempatkan asrama lelaki dan wanita.

Beliau diberi taklimat perkembangan terkini pengurusan PKPD oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Klang, Dr Masitah Mohamed yang antara lain menjelaskan bahawa pengurusan kesihatan diberikan oleh anggota kesihatan dari PKD Klang dan Klinik Kesihatan Meru, selain dibantu anggota kesihatan dari daerah luar serta sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

Aktiviti pengurusan kesihatan meliputi ujian calitan saringan Covid-19, kesiapsiagaan perubatan, pengurusan pemberian arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), pengurusan kemasukan kes positif ke hospital dan pengurusan data.

Menerusi catatan dalam laman sosial itu, Dr Noor Hisham turut berkongsi perkembangan terkini tindakan menangani penularan Covid-19 di Sabah iaitu Wad Isolasi Hospital Semporna telah siap sepenuhnya dan mula digunakan pada 22 November lepas.

Wad Isolasi yang mempunyai sembilan katil itu mempunyai tekanan negatif dilengkapi dengan HEPA Filter, dua katil ICU, dua alat ventilator termasuk satu ventilator mudah alih.

“Dengan adanya kemudahan ini, pesakit penyakit berjangkit seperti Covid-19 yang memerlukan ICU care atau HDW boleh dirawat dan diisolasi dengan lebih berkesan. Kemudahan ini juga akan mempertingkatkan kesiapsiagaan hospital menghadapi pandemik ini khususnya di pantai timur Sabah,” katanya. - Bernama