Mujahid mohon maaf tak tolak Belanjawan 2021

Hantaran Mujahid di Facebook beliau hari ini.
Hantaran Mujahid di Facebook beliau hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof memohon maaf kepada penyokong Pakatan Harapan (PH) susulan tindakan ahli-ahli Parlimen gabungan tersebut yang mengambil keputusan untuk tidak menolak Belanjawan 2021 pada Khamis lalu.

Menurutnya, beliau berpendapat kemarahan penyokong PH terhadap insiden tersebut adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan memandangkan ia dilakukan pada saat-saat akhir.

“Adapun keputusan untuk 'stand down' undi (tak jadi mengundi tolak bajet) dari Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim), ia dibuat pada saat akhir semasa penggulungan sedang berlangsung.

“Dalam keadaan demikian, pada pendapat saya kita tidak boleh menyalahkan sesiapa tetapi pada waktu yang sama kita tidak boleh menyalahkan penyokong-penyokong PH dari berasa marah terhadap insiden yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar perjelas sebab tidak sokong undi belah bahagi

Jangan rai 'kemenangan', Belanjawan 2021 masih boleh ditolak: Anwar

“Untuk itu, saya secara peribadi memohon maaf jika tindakan kami menimbulkan keresahan, keliru dan marah atas arahan 'tarik handbrake' dari menolak Belanjawan 2021 pada saat-saat akhir,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Mujahid bagaimanapun berkata, usaha untuk memperjuangkan Belanjawan 2021 yang memberikan manfaat kepada rakyat masih belum berakhir memandangkan tidak ada mana-mana blok daripada PH yang menerimanya secara bulat-bulat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, alasan Anwar menyokong Belanjawan 2021 adalah bersandarkan kepada keperluan rakyat yang dilihat lebih utama daripada keperluan politik.

“Hakikatnya inilah yang berlaku. Semasa penggulungan pada 26 November lalu, Menteri Kewangan (Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) ternyata mengalah kepada tuntutan blok PH dan BN backbencher berbanding dari janji-janji dalam pembentangan awal.

“Antara lain ialah moratorium pinjaman bank hingga Mac 2021, keluaran automatik wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara meluas dan pemotongan peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

“Adalah sesuatu yang merugikan jika kita menolak bajet yang tunduk kepada sebahagian kehendak kita,” katanya.

Sehubungan itu, Mujahid berkata, penolakan terhadap Belanjawan 2021 yang telah sedikit sebanyak ditambah baik mengikut kehendak gabungan tersebut bakal mengundang kemarahan daripada rakyat sekiranya ia dilakukan pada Khamis lalu.

Justeru, beliau mengulang penegasan Ketua Pembangkang yang menyatakan bahawa semua pindaan yang disebut oleh Menteri Kewangan perlu diteliti di peringkat jawatankuasa Belanjawan.

“Peringkat jawatankuasa adalah tindakan susulan untuk meneliti setiap perincian kerana asal bajet telah dibuat berbagai perubahan dalam penggulungan Menteri Kewangan,” katanya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, beliau memahami sebab mengapa penyokong PH meluahkan kemarahan mereka susulan daripada kelulusan belanjawan tersebut yang diberikan tanpa sebarang penolakan yang jelas daripada pihak pembangkang di Dewan Rakyat Khamis lalu.