Kerajaan tumpu fasa peningkatan pengeluaran makanan tahun depan

Kerajaan menyediakan peruntukan RM80 juta bagi Tabung Bencana Pertanian Agro Makanan yang dijangka bakal memberi manfaat besar kepada mereka yang terjejas seperti petani, pesawah, penternak dan nelayan.
Kerajaan menyediakan peruntukan RM80 juta bagi Tabung Bencana Pertanian Agro Makanan yang dijangka bakal memberi manfaat besar kepada mereka yang terjejas seperti petani, pesawah, penternak dan nelayan.
A
A
A

JASIN - Bantuan insentif secara bersasar yang diperkenalkan dalam sektor pertanian dan asas makanan antara usaha yang diperkasakan kerajaan bagi mencapai matlamat tahun 2021 sebagai fasa peningkatan pengeluaran makanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia bagi memastikan keselamatan makanan terjamin supaya negara tidak terus bergantung dengan import makanan dari luar dan berupaya mengeluarkan produk sendiri.

Beliau berkata, kementeriannya sentiasa memberi perhatian serius agar industri itu terus berkembang menerusi peruntukan pada Belanjawan 2021 kepada petani, peladang dan nelayan terutamanya melibatkan sektor komoditi tanaman padi dan hasil pertanian.

"Antaranya, kerajaan menyediakan Skim Harga Padi sebanyak RM570 juta, Skim Subsidi Baja dan Insentif Pengeluaran Padi sebanyak RM960 juta dan Subsidi Baja Padi Bukit sebanyak RM40 juta.

"Selain itu, kerajaan memfokuskan pengeluaran hasil pertanian menerusi pelaksanaan program di bawah jabatan dan agensi pemantau seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan sebagainya," katanya ketika berucap merasmikan program Menuai Padi Varieti MR303 di Kampung Tedong di sini hari ini.

Ahmad berkata, ia juga termasuk usaha kerajaan menyediakan peruntukan RM80 juta bagi Tabung Bencana Pertanian Agro Makanan yang dijangka bakal memberi manfaat besar kepada mereka yang terjejas seperti petani, pesawah, penternak dan nelayan.

Beliau berkata, pengagihan akan dibuat setelah pihak kementerian membuat penilaian dengan fokus diberi kepada kumpulan yang terjejas teruk dan mengalami kerugian seperti banjir pada musim tengkujuh.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, berdasarkan hasil tuaian padi MR 303 di kawasan itu, membuktikan Melaka berpotensi menjadi negeri jelapang padi berikutan beberapa kawasan telah dikenal pasti bersesuaian untuk menjalankan penanaman padi jenis varieti tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Padi varieti MR303 ini terdapat beberapa kebaikan antaranya memberi hasil tuaian tinggi sebanyak 10 tan bagi keluasan satu hektar, justeru kita menyarankan pesawah mengusahakan tanaman padi ini secara optimum di tanah-tanah sedia ada," katanya. - Bernama