Hanya Jabatan Kimia boleh buktikan DNA babi dalam makan

Datuk Mohamad Nordin Ibrahim - Foto Bernama
Datuk Mohamad Nordin Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan, hanya keputusan oleh makmal Jabatan Kimia Malaysia sahaja yang boleh dijadikan bukti bagi mana-mana kes pengesanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk makanan.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata penggunaan alat mengesan DNA babi dalam produk tanpa autoriti dan dilakukan secara individu, dibimbangi akan menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat.

“Hari ini ada pihak yang merujuk Jakim mengenai penjualan sejenis produk yang dikatakan boleh mengesan DNA babi dalam makanan. Suka saya menasihatkan pengguna agar berhati-hati dan tidak terkeliru dengan produk seperti ini.

“Ini kerana pengesahan kandungan sesuatu produk hanya boleh dibuat oleh pihak yang berautoriti dan diekreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia sahaja dengan kriteria-kriteria tertentu,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, tersebar mesej mengenai sebuah syarikat (Iftitah Solutions (M) Sdn Bhd) yang didakwa sebagai pengedar produk pengesan kandungan DNA babi dalam makanan yang kaedah mengesan DNA tersebut adalah melalui kit pengesan yang boleh diketahui keputusannya dalam masa hanya 10 minit. - Bernama

Artikel Berkaitan: