Perkeso kesan 159 kes penipuan tahun lepas

Perkeso
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengesan 159 kes yang disyaki melibatkan pelbagai bentuk penipuan pada tahun lepas, kata Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 100 kes telah selesai disiasat dan ditutup, enam kes masih dalam siasatan dan 53 adalah kes baharu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau pernah dipergunakan oleh orang tengah dalam menuntut faedah Perkeso, supaya tampil memaklumkan kepada Perkeso agar kegiatan penipuan ini dapat dibanteras dan pelaku jenayah dapat dikenakan tindakan undang-undang.

“Sekali lagi, Perkeso menegaskan bahawa perkhidmatan Perkeso adalah percuma dan tidak perlu menggunakan pihak lain atau orang tengah sebagai perantara bagi mendapatkan sebarang perkhidmatan atau membuat tuntutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru, pihaknya akan bergerak lebih agresif dalam membanteras aktiviti penipuan tuntutan faedah Perkeso dan yakin lebih ramai pihak yang terlibat akan didakwa di mahkamah sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat semua kes penipuan tuntutan faedah tersebut demi kebaikan semua pencarum.

Tegas Mohammed Azman, Perkeso memandang serius pemalsuan tuntutan faedah yang dibuat oleh pencarum atau pihak lain dipandang serius kerana ia bukan sahaja membabitkan penipuan malah ia merupakan satu penganiayaan kepada pencarum lain terutama mereka yang berhak menerima faedah dan kemudahan yang disediakan Perkeso.

“Dalam memberi perlindungan keselamatan sosial terbaik kepada golongan yang memerlukan, Perk sentiasa mengawasi sekiranya terdapat kes-kes penipuan dalam tuntutan faedah Perkeso.

Semua tuntutan yang dikemukakan akan diproses mengikut peruntukan dan syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Akta-akta yang dikuatkuasa oleh Perkeso,” katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia