Agong berkenan serah Watikah Wira Negara kepada Norihan

Sahabudin (kanan) mengiringi Yahaya (tengah) ke ICU Hospital Pulau Pinang bagi menyampaikan Watikah Wira Negara dan surat penghargaan kepada Norihan tadi.
Sahabudin (kanan) mengiringi Yahaya (tengah) ke ICU Hospital Pulau Pinang bagi menyampaikan Watikah Wira Negara dan surat penghargaan kepada Norihan tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang menerima kunjungan daripada wakil Istana Negara tengah hari tadi.

Kunjungan tersebut disempurnakan oleh Juruiring Polis Kepada Yang Dipertuan Agong, Datuk Yahaya Othman yang diiringi Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan.

Yahaya dan Sahabudin yang tiba di HPP pada jam 12 tengah hari meluangkan masa kira-kira 10 minit bagi menyampaikan Watikah Wira Negara dan surat penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Norihan.

Kedatangan mereka disambut isteri Norihan, Fardilla Adam, 35, yang sentiasa menemaninya sepanjang dirawat di ICU Hospital Pulau Pinang.

Yahaya berkata, Norihan dilihat sangat teruja ketika menerima kunjungan tersebut selain sempat berbual mengenai keadaan dirinya.

"Yang Dipertuan Agong mengarahkan saya untuk melawat Sarjan Norihan dan menyampaikan titah dan keprihatinan Seri Paduka Baginda (terhadap Norihan) dalam mempertahankan negara. Kebetulan beliau anak Pahang dan baginda amat prihatin untuk memastikan rakyat negeri baginda dalam keadaan dan kesihatan yang baik selain memastikan beliau dapat berkhidmat lagi nanti.

"Selain itu, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mendoakan Sarjan Norihan supaya cepat sembuh dan kesihatannya bertambah baik untuk berkhidmat pada masa akan datang," katanya ketika ditemui media di pekarangan HPP di sini tadi.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda turut menitahkan kerajaan Pahang untuk melawat keluarga Norihan yang berada di Pahang dan beliau dimaklumkan mereka dalam keadaan baik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sahabudin berkata, Norihan menunjukkan perkembangan lebih baik selain lebih banyak bercakap berbanding semalam.

Sahabudin (kanan) bersama Yahaya bertemu media di pekarangan HPP selepas melawat Norihan.
Sahabudin (kanan) bersama Yahaya bertemu media di pekarangan HPP selepas melawat Norihan.

"Semalam ketika saya melawatnya, dia tidak banyak bercakap tetapi hari ini, dia sudah boleh berbual. Ketika saya dan Yahaya melawat tadi, dia banyak senyum dan bercerita mengenai keluarga dan kerjanya selain beberapa perkara lain.

"Apa yang saya dapat lihat, Norihan sangat kuat semangat dan dia mengingati semua perkara termasuk kejadian yang menimpa rakannya, Sarjan Baharuddin Ramli. Dia juga tahu kejadian yang menimpa rakannya itu (meninggal dunia)," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia jadi dalang sindiket penyeludupan di sempadan

Mengulas mengenai baki sebutir peluru yang masih berada di dalam tubuh Norihan, Sahabudin berkata, doktor sedang membuat penilaian mengenainya.

"Berdasarkan maklumat daripada doktor yang merawatnya, pasukan perubatan termasuk pakar sedang membuat penilaian berhubung sebutir lagi peluru berdekatan dengan tulang belakang yang masih belum dikeluarkan.

"Sama ada perlu pembedahan susulan untuk keluarkan peluru ketiga itu ia bergantung kepada penilaian pakar-pakar perubatan dan keadaan kesihatan Norihan," katanya.

Terdahulu, Norihan selesai menjalani pembedahan membuang dua butir peluru pada perut kelmarin.

Pembedahan yang mengambil masa lebih empat jam bermula jam 1.30 petang itu dijalankan oleh kumpulan pakar HPP di sini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, Norihan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan tersebut.

Rabu lalu, Norihan tiba di HPP tepat jam 9.20 malam dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tiga peluru iaitu satu di tulang belakang dan dua pada perut.

Dalam kejadian awal pagi Selasa lalu, seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, maut dipercayai akibat ditembak.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, mangsa, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama Norihan yang mengalami kecederaan parah.