X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk bantah bina laluan masuk ke stesen LRT3

Antara penduduk yang membantah pembinaan laluan masuk ke stesen LRT3 di Kampung Sungai Kayu Ara.
A
A

PETALING JAYA - Penduduk di Kampung Sungai Kayu Ara membantah pelaksanaan pembinaan laluan masuk ke stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT) yang sedang dalam pembinaan.

Difahamkan, sebelum ini penduduk di kawasan berkenaan pernah beberapa kali membantah pelaksanaan pembinaan laluan masuk ke stesen berkenaan yang akan melalui Jalan PJU 6, di sini.

Menurut seorang wakil penduduk, Nor Saawaludin Mohd Noor, 62, kawasan tersebut padat dengan penduduk dan pembinaan laluan itu bakal mengganggu keselesaan mereka.

"Keadaan yang padat menyebabkan kami terpaksa parkir kenderaan di tepi jalan. Bayangkan situasinya jika pembinaan laluan ke stesen ini diteruskan," katanya selepas demonstrasi bantahan yang dilaksanakan di laluan terlibat hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Saawaludin berkata, penduduk sebelum ini pernah menyuarakan masalah tersebut kepada persatuan penduduk, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin; Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pemaju dan beberapa pihak lain namun belum ada maklum balas.

Katanya, penduduk mencadangkan laluan masuk ke stesen LRT3 berkenaan yang melalui Jalan PJU 6 dialihkan ke Jalan Bridge 21/64 bersebelahan Lebuhraya Damansara Link.

"Kenapa pemaju memilih laluan masuk di sini yang mempunyai kepadatan penduduk sedangkan ada beberapa laluan alternatif lain," katanya.

Dalam pada itu, aktivis Sahabat Damansara, Amin Mohd Shukor turut menggesa pemimpin dan pemaju mengadakan perbincangan segera dengan penduduk terlibat yang gusar tentang permasalahan itu.

Katanya, penduduk tidak membantah projek pembinaan stesen berkenaan namun mereka berharap nasib masyarakat setempat diberi perhatian.

"Banyak masalah dan kacau ganggu akan timbul jika pihak terlibat masih memutuskan untuk menggunakan jalan ini sebagai laluan masuk," katanya.3


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!