Rina berhasrat tubuh Bank Pembangunan Wanita

Rina ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Srikandi sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kali Ke-3 yang diadakan secara maya di sini hari ini.
Rina ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Srikandi sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kali Ke-3 yang diadakan secara maya di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Mohd Harun berhasrat untuk menubuhkan Bank Pembangunan Wanita seiring dengan portfolionya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata, penubuhan bank khas itu untuk memanfaatkan golongan wanita terutama dalam memberi khidmat nasihat kewangan dan perniagaan, latihan keusahawanan serta mewujudkan perkhidmatan kemudahan pinjaman khas kepada golongan itu.

"Saya faham ramai wanita terutama yang memiliki perniagaan mengetahui kewujudan pinjaman khas untuk wanita seperti daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Bank dan bank-bank pembangunan lain namun kadar pengambilan (pinjaman) rendah.

"Bukan itu sahaja, walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, namun masih terdapat perbandingan berdasarkan gender yang melibatkan kemudahan pinjaman dan kemudahan membesarkan perniagaan oleh wanita.

"Usahawan wanita masih diperkecilkan keupayaan bagi menerajui perniagaan yang besar dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa. Oleh itu, adalah bagus jika kita punya sebuah bank khas untuk golongan wanita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Srikandi sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kali Ke-3 yang diadakan secara maya di sini hari ini.

Rina berkata, beliau juga akan memberi tumpuan untuk memperhebat agenda pemerkasaan wanita melalui keusahawanan kerana apabila wanita mempunyai kekuatan ekonomi, ia akan dapat mencapai tahap kemandirian hidup yang kerajaan rancangkan.

Menurutnya, beliau tidak mahu masih ada wanita yang hanya menanti bantuan sebaliknya mahu melahirkan golongan wanita yang dapat menawarkan peluang pekerjaan untuk masyarakat dalam pasca pemulihan wabak koronavirus (Covid-19) sekarang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Rina jamin 30 peratus kuota calon PRU15 untuk wanita

"Saya percaya, sekiranya lebih ramai usahawan wanita dapat dilahirkan, maka kita akan lebih cepat keluar dari kepompong kemiskinan dan setiap keluarga akan menikmati hasil pendapatan yang lebih baik. Sekaligus, kita akan dapat meningkatkan keupayaan wanita untuk mencari sumber pendapatan dan bukan hanya berpeluk tubuh.

"Oleh itu, saya juga sedang merangka sebuah program keusahawanan bagi membantu golongan wanita yang terjejas akibat Covid-19. Tumpuan untuk mempertingkatkan pengetahuan dalam bidang e-dagang juga amatlah dialu-alukan," katanya.

Beliau menegaskan, sekiranya golongan wanita dapat merebut peluang di dalam platform jualan secara digital dan tanpa sempadan itu, mereka akan dapat mencipta satu cabang pendapatan yang konsisten dan tidak begitu terkesan dengan bentuk ancaman gencatan ekonomi secara konvensional.

Malahan, katanya, sudah ramai usahawan wanita digital dilahirkan sewaktu Covid-19 melanda sekaligus menunjukkan perkara itu bukanlah satu halangan untuk dilakukan.

"Penyertaan lebih ramai golongan profesional dan usahawan wanita, akan menyemarakkan agenda pengukuhan ekonomi di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Lebih ramai wanita di dalam ekonomi akan mewujudkan kesan kitaran Yang positif di mana lebih banyak peluang-peluang pekerjaan yang bersesuaian dapat diwujudkan dan bentuk-bentuk latihan serta pengukuhan dapat diseragamkan," katanya.