93 kes curi balak dalam tempoh 10 bulan

Balak curi di Hutan Simpan Chini dicampur dengan balak berlesen bagi mengaburi pihak berkuasa berlaku di Bera minggu lalu. (Foto ihsan JPNP)
Balak curi di Hutan Simpan Chini dicampur dengan balak berlesen bagi mengaburi pihak berkuasa berlaku di Bera minggu lalu. (Foto ihsan JPNP)
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) merekodkan 93 kes mencuri balak dan kayu bergergaji secara haram sepanjang tempoh 10 bulan bermula Mac tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, lebih 30 unit pelbagai jentera yang dipercayai digunakan anggota sindiket terbabit telah disita.

Menurutnya, JPNP menjalankan intipan dan tindakan penguatkuasaan walaupun sedang berhadapan wabak koronovirus (Covid-19).

"Sebelum ini kegiatan sindiket memindahkan hasil hutan lebih tertumpu pada musim perayaan, cuti umum dan bergerak pada waktu malam serta awal pagi.

"Bagaimanapun, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kegiatan mencuri balak dan kayu bergergaji meningkat. Anggota sindiket juga dilihat menggunakan pelbagai cara untuk melepaskan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, JPNP berusaha mengesan dan menumpaskan kegiatan berkenaan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Dalam pada itu, Nor Azirim memberitahu, helah terbaru sindiket mencuri kayu di negeri ini ialah dengan cara mencampurkan balak berlesen dengan balak curi di pusat penyimpanan balak.

Katanya, kes terbaru berlaku di Hutan Simpan Chini di Bera minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Taktik yang sama itu pernah dikesan di Hutan Simpan Berkelah, Jerantut membabitkan 300 tual balak pelbagai spesies bernilai RM300,000 pada Jun lalu.

"Kegiatan berkenaan dilakukan secara berangkai bermula daripada penebang, pemandu jentera dan lori balak seterusnya kilang papan," katanya.