Amaran cuaca peringkat kuning ditamatkan di enam negeri

MetMalaysia hari ini menamatkan amaran cuaca waspada (peringkat kuning) untuk enam negeri berikutan keadaan cuaca yang dijangka bertambah baik. (Gambar hiasan)
MetMalaysia hari ini menamatkan amaran cuaca waspada (peringkat kuning) untuk enam negeri berikutan keadaan cuaca yang dijangka bertambah baik. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini menamatkan Amaran Cuaca Waspada (peringkat kuning) untuk enam negeri berikutan keadaan cuaca yang dijangka bertambah baik.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata, ia melibatkan lapan kawasan di Kedah iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling; selain Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta di Perak.

Beliau berkata, empat lagi negeri ialah di seluruh Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Keadaan cuaca di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka bertambah baik, oleh itu amaran yang dikemas kini semalam, ditamatkan untuk kawasan-kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web atau laman media sosial rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca atau hubungi talian hotline 1-300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: