Adik ipar 'songlap' wang katering lebih RM31,000

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengusaha katering dari Bentong mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM31,250 selepas ditipu pengurus syarikatnya.

Wanita berusia 51 tahun itu mendakwa suspek yang merupakan adik iparnya telah mengeluarkan invois tempahan makanan menggunakan nama syarikatnya dan menerima bayaran daripada pelanggan melalui akaun bank sendiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa melantik adik iparnya yang berusia 37 tahun sebagai pengurus sejak tahun 2014.

Menurutnya, pelantikan suspek sebagai pengurus syarikat hanya dibuat secara lisan tanpa sebarang surat lantikan atas dasar percaya kepada ahli keluarga.

"Semua urusan berkaitan dengan tender makanan diuruskan oleh suspek termasuk urusan kewangan.

"Tugas suspek mengambil tempahan makanan, mengeluarkan invois, sebut harga tempahan makanan dan menerima bayaran daripada pelanggan serta menguruskan tempahan pelanggan dalam semua majlis sehingga selesai," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek telah menyalahgunakan kepercayaan itu apabila menggunakan nama syarikatnya sendiri dalam urusan tempahan dan bayaran, manakala wang bayaran pelanggan tidak diserahkan kepada mangsa sebagai penyedia makanan seperti yang sepatutnya.

"Sepanjang tahun 2019 sehingga tahun ini beberapa tender tempahan makanan diuruskan suspek dengan jumlah bayaran keseluruhan RM31,250, namun wang tersebut gagal diserahkan kepada mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa ada meminta wang tersebut, namun suspek memberi pelbagai alasan dan gagal membuat bayaran tersebut," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa memberi kepercayaan penuh memandangkan suspek merupakan ahli keluarga dan dia sendiri tidak pernah berjumpa dengan pelanggan untuk urusan tempahan serta menerima bayaran.

"Mangsa mendakwa dia juga tiada sebarang rekod, resit, dokumen penerimaan tempahan dan pembayaran pelanggan daripada suspek," katanya.

Katanya, susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Karak semalam untuk tindakan lanjut.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan telah dijalankan termasuk merakam percakapan mangsa dan saksi-saksi lain," katanya.