CEO direman bantu siasatan kes dokumen palsu

CEO (kiri) sebuah anak syarikat kerajaan Perak keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh selepas mendapat perintah reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dokumen palsu.
CEO (kiri) sebuah anak syarikat kerajaan Perak keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh selepas mendapat perintah reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dokumen palsu.
A
A
A

IPOH - Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat kerajaan Perak direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes mengemukakan dokumen palsu.

Perintah tahanan reman ke atas lelaki berusia 45 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Umzarul An Nur Umar di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Terdahulu, lelaki yang diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan memakai baju lokap berwarna jingga itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sesyen Majistret Ipoh kira-kira jam 10.30 pagi.

Menurut sumber, lelaki terbabit ditahan pada jam 3.45 petang di Pejabat SPRM Perak semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Dia ditahan selepas disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran maklumat palsu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak untuk diluluskan.

Dokumen tersebut berupa surat tawaran pelantikan sebagai CEO bertaraf jawatan tetap dan menerima gaji RM20,000 sebulan sedangkan dalam Minit Mesyuarat Jawatankuasa Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Bil.14/2017 bertarikh 8 Disember 2017 memutuskan lantikan jawatan tersebut adalah secara kontrak.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel Berkaitan: