X

Kindly register in order to view this article
!

Pembangunan vaksin tempatan perlu disegerakan: PPIM

Penularan Covid-19 perlu menjadi satu pengajaran pentingnya menghasilkan vaksin sendiri yang pasti menitikberatkan aspek halal.
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan mewujudkan satu agensi khusus untuk pembangunan vaksin kerana wabak koronavirus (Covid-19) kini semakin membimbangkan.

PPIM dalam satu kenyataan hari ini berkata, negara mempunyai pakar vaksin yang berkelayakan.

Menurutnya, Malaysia mengimport sepenuhnya keperluan vaksin negara yang sudah menelan belanja berbilion ringgit.

"Penularan Covid-19 menyebabkan negara terpaksa menyediakan dana yang lebih untuk memvaksinasi sekurang-kurangnya 70 peratus atau lebih 20 juta rakyat Malaysia untuk mencapai tahap ‘herd immunity’," kata kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin: Malaysia perlu bayar pendahuluan RM94.08 juta

KKM guna kaedah 5P dalam pengurusan pemerolehan vaksin

Kenyataan itu juga menyebut, penularan Covid-19 perlu menjadi satu pengajaran pentingnya menghasilkan vaksin sendiri yang pasti menitikberatkan aspek halal.

"Umat Islam khususnya terpaksa berhadapan dengan keadaan darurat apabila terpaksa divaksinasi dengan vaksin yang mempunyai unsur-unsur haram setiap kali menunaikan haji dan umrah.

"Walaupun diharuskan pengambilannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kita perlu peka dan bertanya sampai bila kita harus bergantung kepada keputusan fatwa ini sedangkan kita mempunyai kemampuan kepakaran dan kewangan.

"Sampai bila negara perlu menagih ehsan dari negara pengeluar untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi berikutan penularan pantas seperti Covid-19 ini? Negara pengeluar sudah pasti akan mengutamakan penduduk mereka dahulu sebelum mengekspot bahan itu kepada negara luar," katanya.

Jelas kenyataan itu, negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand sudah memperkasakan kepakaran, kemudahan dan keupayaan mereka untuk menghasilkan vaksin sendiri.

"Kita yakin Malaysia juga mempunyai beberapa kelebihan dari segi kemudahan infrastruktur, pakar dan kewangan yang kukuh untuk menghasilkan vaksin sendiri," kata PPIM.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!