X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit dijangka teruskan momentum meningkat minggu depan

Ringgit dijangka meneruskan momentum kenaikannya berbanding dolar AS pada minggu depan. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dijangka meneruskan momentum kenaikannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan berdasarkan dolar AS yang lemah, minyak mentah yang stabil dan perkembangan positif mengenai vaksin koronavirus (Covid-19), kata para peniaga.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata, mata wang tempatan dijangka menguji paras 4.05 sekiranya minyak mentah Brent mencecah AS$50 minggu depan.

Beliau berkata, harga minyak telah meningkat menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya (OPEC +) minggu depan mengenai laporan mengenai perang harga dalam kalangan mereka.

Arab Saudi dan Rusia berusaha mendorong pengeluar minyak untuk melanjutkan pengurangan kuota tetapi Iraq, Nigeria dan Emiriah Arab Bersatu mahu meningkatkan pengeluaran minyak.

"Dengan syarat OPEC bersetuju untuk melanjutkan kuota pengeluarannya ketika ini, ringgit diunjur akan terus diniagakan tinggi kerana pasaran terus menjangkakan dolar AS akan lemah hingga akhir tahun.

"Ini memandangkan gabungan bekas pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen dipilih sebagai ketua Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang baharu oleh Presiden AS dilantik, Joe Biden dan Pengerusi Rizab Persekutuan ketika ini, Jerome Powell yang dilihat memihak kepada kadar faedah rendah," katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.0670/0710, paras tertinggi dalam tempoh hampir 11 bulan berbanding 4.0900/0940 pada minggu sebelumnya.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata, ringgit adalah prestasi kedua terbaik Asia untuk minggu ini, di belakang won Korea Selatan, ketika mata wang serantau terus memanfaatkan dolar AS yang lebih lemah.

Beliau berkata, undian Belanjawan 2021 pada hari Khamis lepas telah melonjakkan ringgit ke tahap paling kukuh berbanding dolar AS sejak Januari, membolehkan mata wang tempatan untuk mengatasi semua kerugiannya dari tahun ke tahun terhadap dolar AS yang telah dicatatkan sejak penularan Covid-19.

Katanya, pengukuhan ringgit dibantu oleh kenaikan harga minyak serta sentimen risiko yang wujud daripada perkembangan positif terhadap vaksin Covid-19.

"Pasaran menjangkakan bahawa kumpulan negara pengeluar minyak utama akan menangguhkan pelan untuk memulihkan bekalan ke pasaran global hingga bulan Mac.

"Sebarang hasil lain yang menyimpang dengan ketara daripada naratif yang dipegang sekarang boleh mencetuskan perubahan besar-besaran dalam harga minyak dan seterusnya berpotensi berlaku dalam mata wang berkaitan komoditi juga," katanya.

Tan berkata, kejutan positif dalam angka perdagangan Malaysia pada bulan Oktober yang dikeluarkan pada Jumaat menyaksikan eksport meningkat 0.2 peratus kepada RM91.05 bilion, ia juga membantu membawa ringgit ke bawah paras 4.07 berbanding dolar AS.

"Dolar AS/ ringgit kini dijangka untuk melancarkan satu lagi percubaan untuk berada di bawah paras sokongan 4.05, selepas tidak berjaya pada Januari 2020 dan juga pada Mac 2019.

"Secara keseluruhan, kelemahan dolar AS mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi ringgit untuk berada pada paras sebelum tempoh penularan Covid-19 dengan pemulihan harga minyak memberikan sokongan untuk mata wang Malaysia," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0380/0431 pada Jumaat daripada 3.0434/0479 pada minggu sebelumnya, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9083/9133 daripada 3.9399/9445 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8479/8543 daripada 4.8495/8559 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4319/4389 daripada 5.4295/4360 sebelum ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!