Pembayar cukai SVDP dengan pendapatan bulanan RM4,000 perlu daftar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pembayar cukai yang telah menerima surat atau e-mel mengenai Program Pendedahan Sukarela Khas (SVDP) dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) perlu mendaftar sebagai pembayar cukai dan mengisytiharkan pendapatan mereka jika mempunyai pendapatan pekerjaan bulanan sebanyak RM4,000 dan ke atas.

LHDNM dalam kenyataan hari ini berkata perniagaan, selain daripada syarikat berhad dengan pendapatan tahunan RM48,000 (atau RM4,000 sebulan) selepas menolak perbelanjaan operasi yang dan elaun modal diluluskan, masih perlu mendaftar sebagai pembayar cukai dan mengisytiharkan pendapatan tersebut kepada LHDNM.

Pendaftaran boleh dibuat di mana-mana cawangan LHDNM atau melalui sistem e-Daftar yang boleh diakses melalui portal rasmi LHDNM.

LHDNM berkata pembayar cukai boleh mengabaikan surat dan e-mel yang diterima daripada LHDNM jika pendapatan yang diterima kurang daripada jumlah yang disebutkan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM Datuk Seri Sabin Samitah berkata menerusi inisiatif Pertukaran MAklumat Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Malaysia telah mula menerima maklumat kewangan khususnya mengenai akaun perbankan luar pesisir bermula September 2018.

Oleh itu, pembayar cukai diminta menghubungi LHDNM untuk mengisytiharkan pendapatan jika mereka mempunyai akaun bank luar pesisir yang berkaitan dengan pendapatan yang diperoleh atau terakru dari Malaysia, dan boleh dikenakan cukai tetapi masih belum diisytiharkan kepada LHDNM.

LHDNM juga telah mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima mengenai beberapa pegawainya yang bertindak secara tidak profesional, mengancam pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

Beliau berkata LHDNM komited untuk menjalankan tugasnya seperti yang diamanahkan, dan terus berusaha untuk menjadi organisasi yang fokus kepada pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pembayar cukai yang berdaftar yang sebelum ini mengisytiharkan pendapatan mereka tidak perlu risau tentang e-mel dan surat yang diterima, kerana mereka menerima pemberitahuan umum mengenai SVDP yang berakhir pada 30 Jun 2019. - Bernama