Usahawan tani hargai bantuan PPK

Md Yasin (dua dari kanan) dan Abd Jalil (dua dari kiri) di ladang ulam-ulaman di Kampung Parit Kasmani.
Md Yasin (dua dari kanan) dan Abd Jalil (dua dari kiri) di ladang ulam-ulaman di Kampung Parit Kasmani.
A
A
A

PONTIAN - Usahawan tani di kawasan Benut di sini bersyukur dengan usaha yang dilakukan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Benut bagi memasarkan hasil pertanian mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Inisiatif itu melegakan dan membantu mereka untuk menjual hasil pertanian yang tidak dapat dijual dengan banyak seperti sebelum pelaksanaan PKP akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengurus Besar PPK Benut, Abd Jalil Elias, 39, berkata, sistem jualan hasil pertanian secara terus ke pasar borong, pasar raya dan kedai-kedai runcit dilaksanakan bagi memastikan rantaian penjualan hasil pertanian kepada pengguna tidak terputus sepanjang tempoh PKP.

“Usaha ini secara tidak langsung membantu usahawan tani, mendapatkan harga jualan pertanian lebih baik kerana tidak perlu lagi melalui orang tengah.

“Kami di PPK Benut membantu usahawan tani memasarkan hasil pertanian mereka dengan lebih baik. Hasil pertanian turut dihantar ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang yang mempunyai Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP).

“Anggaran pasaran jualan iaitu 40 peratus ke pasar borong, 30 peratus pasar raya dan 30 peratus kedai-kedai runcit di sekitar Benut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu lalu.

Abd Jalil (kanan) dan Md Yasin menunjukkan ulam daun asam yang ditanam di Kampung Parit Kasmani.
Abd Jalil (kanan) dan Md Yasin menunjukkan ulam daun asam yang ditanam di Kampung Parit Kasmani.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia, Mohd Hanifa Awang Su.

Artikel Berkaitan:

Abd Jalil berkata, PPK Benut mempunyai seramai 3,400 ahli di mana 120 orang terlibat dengan aktiviti pengeluaran makanan seperti penanaman sayur-sayuran, ulam-ulaman, penternakan ayam kampung, industri kecil sederhana (IKS) dan sebagainya.

Beliau berkata, pihaknya juga merancang untuk memasarkan hasil pertanian secara dalam talian yang dilihat cukup berpotensi untuk dikembangkan bagi memberikan kemudahan kepada pembeli mendapatkan hasil pertanian secara segar dari ladang.

Bagi usahawan tani, Md Yasin Kandar, 65, yang mengusahakan tanaman ulam-ulaman, dia menghargai usaha dilakukan PPK Benut untuk memasarkan hasil pertanian terutama ketika PKP bagi mengelakkan berlaku lambakan hasil pertanian yang tidak terjual.

Katanya, pergerakan yang amat terhad ketika PKP menyukarkan peraih terutama di Johor Bahru untuk datang membeli ulam-ulaman seperti pegaga, meranti, ulam raja dan daun asam yang diusahakan di Kampung Parit Kasmani, Simpang Renggam, Johor.

“Sebelum PKP dikuatkuasakan pada Mac lalu, sekurang-kurangnya 600 kilogram (kg) dapat dijual setiap hari tetapi selepas itu jualan merosot di mana hanya 80kg dan 70kg sahaja mampu dijual.

“Memang susah hendak jual hasil pertanian sebab pasar borong banyak ditutup ketika awal PKP dulu, selain pergerakan yang terhad menyebabkan peraih tidak dapat datang ke ladang,” katanya.

Menurut Md Yasin, kehadiran PPK Benut membantu memasarkan hasil pertanian cukup melegakan sekali gus mengelak lambakan hasil tani yang tidak terjual memandangkan ulam-ulaman tidak tahan untuk disimpan dalam tempoh jangka masa panjang.

Md Yasin menunjukkan pegaga segar yang ditanam di ladangnya di Kampung Parit Kasmani.
Md Yasin menunjukkan pegaga segar yang ditanam di ladangnya di Kampung Parit Kasmani.

Jelasnya, dalam tempoh 25 tahun mengusahakan tanaman ulam-ulaman, kira-kira RM100,000 bantuan seperti peralatan dan baja diterima daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang kini dikenali sebagai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Menceritakan pembabitannya dalam tanaman ulam-ulaman, Md Yasin mengakui berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran memandangkan tanaman itu belum lagi menjadi pilihan petani untuk diusahakan ketika itu.

Namun katanya, beliau kini mampu tersenyum melihat hasil titik peluh diusahakan membuahkan hasil lumayan dan menjana pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit setiap bulan.

“Sebelum ini saya meniaga putu piring dan putu bambu di sekitar Benut, Senggarang, dan Simpang Renggam. Melihat kepada potensi tanaman ulam-ulaman saya tertarik untuk mengusahakannya secara komersil.

“Kini saya sudah menanam pelbagai jenis ulam-ulaman antaranya pegaga, ulam raja, daun asam di atas tanah seluas kira-kira dua hektar di Kampung Parit Kasmani. Selain itu, sayur pucuk manis turut ditanam di kebun kelapa sawit seluas kira-kira dua hektar di Kampung Parit Talibek,” katanya.

Md Yasin berharap bantuan seperti peralatan atau seumpamanya diteruskan kerana amat membantu usahawan tani ketika berdepan Covid-19 atau ketika keadaan jika cuaca tidak menentu iaitu musim hujan mahupun kemarau.

“Saya berterima kasih kepada PPK Benut yang sentiasa ada memberi sokongan dan khidmat nasihat sepanjang saya mengusahakan tanaman ulam-ulaman.

“Bantuan diberikan sangat membantu lebih- lebih lagi mereka membantu memasarkan hasil pertanian saya ketika Covid-19 ketika ini,” katanya.