Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat

Pasukan APM melakukan pemantuan situasi banjir di Hulu Terengganu. - Foto APM
Pasukan APM melakukan pemantuan situasi banjir di Hulu Terengganu. - Foto APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 1,692 orang melibatkan 424 keluarga pada jam 8 pagi ini berbanding 1,135 orang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di lima daerah.

Menurutnya, Kemaman merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,310 orang diikuti Dungun (344 orang), Kuala Terengganu (17 orang), Marang (14 orang) dan tujuh mangsa di Kuala Nerus.

“Penduduk yang dipindahkan agak ramai di Kemaman, kebarangkalian air di bahagian hulu Kemaman sudah turun ke hilir dan terus ke laut. Jadi kemungkinan sebahagian penduduk di sana yang terjejas banjir boleh balik hari ini jika cuaca baik dan tiada hujan,” katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Paras air naik mendadak dalam satu jam

Che Adam berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan notis penamatan amaran cuaca waspada peringkat kuning hari ini di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang dan cuaca di kawasan tersebut dijangka bertambah baik.

“Pagi ini kita lihat cuaca di beberapa kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus cerah, begitu juga sebahagian daerah lain.

“Bagaimanapun pasukan kita di setiap daerah terus bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerana dalam musim Monsun Timur Laut ini kita dijangka hadapi empat hingga enam episod hujan lebat.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang kita baru terima dua hingga tiga episod hujan lebat, jadi pasukan kita sentiasa bersedia,” katanya.

Sementara itu, empat sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Dungun di Kuala Jengai dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih.

Menurut laporan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada pagi ini, empat sungai juga merekodkan bacaan melepasi paras waspada.

Sungai tersebut adalah Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Sungai Tebak di Jambatan Tebak dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman.