Kula Segaran lawat kuil selewat-lewatnya petang ini

M. Kula Segaran. - Foto Bernama
M. Kula Segaran. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Menteri Sumber Manusia M.Kula Segaran akan ‘turun padang’ ke kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights selewat-lewatnya petang ini susulan kekecohan yang berlaku di kawasan itu.

Katanya beliau bukannya tidak mahu melawat tempat insiden namun terikat dengan jadual kerja ketat.

“Saya seharusnya ke sana semalam, tapi masih belum dapat masa yang sesuai, memang saya akan ke sana nanti..,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan mengenai dakwaan segelintir masyarakat yang menyoal ketidakhadiran menteri berbangsa India dari PH ke kawasan kuil sejak kekecohan semalam.

Kula Segaran bagaimanapun berkata pihaknya maklum akan perkara itu dan mengharapkan satu penyelesaian ‘menang-menang’ akan berlaku.

“Saya berharap perkara ini tidak berpanjangan dan dipohon agar perkara ini berakhir dengan satu penyelesaian menang-menang tidak lama lagi.

“Kita ada pihak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan sehingga itu elakkan bertindak dengan emosi dan jangan keruhkan situasi yang sedia ada,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: Polis nafi lambat bertindak]

Awal pagi semalam, berlaku kekecohan di kuil berkenaan yang dikatakan berpunca daripada perselisihan antara dua kumpulan, malah kekecohan itu berlaku lagi lewat malam tadi.
Artikel Berkaitan:


Sehingga pagi tadi, 23 kenderaan telah dibakar serta sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat dirosakkan dalam kejadian itu.

Susulan itu seramai 21 orang ditahan polis bagi membantu siasatan kes itu.

Seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat turut cedera parah akibat diserang dalam insiden itu malam tadi dan kini dirawat di sebuah hospital swasta dekat sini. – Bernama