Jumpa lagi Malaysia...

PERSPEKTIF

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) berkenan menerima menghadap Bai Tian di Istana Negara bersempena majlis perpisahan duta besar itu kelmarin.
 Bai Tian secara rasmi mula berkhidmat sebagai Duta Besar China ke Malaysia pada 28 November 2017 dan berakhir kelmarin.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) berkenan menerima menghadap Bai Tian di Istana Negara bersempena majlis perpisahan duta besar itu kelmarin.
 Bai Tian secara rasmi mula berkhidmat sebagai Duta Besar China ke Malaysia pada 28 November 2017 dan berakhir kelmarin.
A
A
A

Kereta saya menuju keluar dari Kedutaan China, sekali lagi saya dilayani pemandangan Menara Berkembar Petronas yang berdiri teguh, sekali lagi kereta melalui Jalan Tun Razak yang sibuk.

Pemandangan di luar tingkap kereta sudah biasa bagi saya, namun perasaan saya agak berlainan hari ini (kelmarin). Tidak seperti biasa, hari ini (kelmarin) saya keluar bukan untuk menghadiri mesyuarat atau melawati seseorang kenalan. Sebaliknya, saya dengan keluarga menuju ke lapangan terbang untuk pulang ke China. Mengimbas kembali kenangan semasa berada di Malaysia, pelbagai perasaan terbit dalam hati saya.

Hubungan saya dengan Malaysia sudah terjalin sejak saya masih bekerja di Beijing lagi. Apabila saya bertugas di Kementerian Luar Negeri China, saya pernah beberapa kali mengadakan lawatan ke Malaysia. Dengan menjadi Duta Besar China ke Malaysia pada tiga tahun lalu, buat kali pertama saya bertugas sebagai duta besar dengan memikul tanggungjawab besar ini.

Sejak saya tiba di Malaysia pada waktu itu, saya bertekad untuk mencurahkan seberapa banyak tenaga dan usaha yang boleh ke atas tugas ini. Seperti duta-duta besar sebelum ini, misi saya yang terutama dan satu-satunya adalah untuk mendorong persahabatan dan kerjasama antara China dengan Malaysia.

Sepanjang tiga tahun lalu, saya telah mengalami beberapa siri cabaran, termasuk perubahan politik di Malaysia dan wabak Covid-19. Namun, tidak kira apa perubahan berlaku, persahabatan dan kerjasama China-Malaysia tidak terganggu. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kepercayaan antara kita telah ditingkatkan lagi, persahabatan kita telah berkembang merentasi pelbagai bidang yang menyumbang kepada peningkatan kualiti kerjasama.

Hasilnya, hubungan China-Malaysia menjadi lebih kukuh. Saya amat berbesar hati kerana dapat menyaksikan, mengalami serta menyumbang kepada perkembangan tersebut. Dengan ini boleh saya katakan, saya telah melaksanakan tugas dengan sepenuhnya.

Masa berlalu dengan begitu pantas. Terasa sekejap sahaja saya sudah tinggal di negara yang indah ini hampir tiga tahun. Tugas baharu kini menanti saya di hadapan. Perpisahan memang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan kita. Sebagai seorang diplomat, saya sentiasa mengalami perpisahan dari masa ke masa.

Setiap kali menjelang pengakhiran tempoh tugas, saya selalu berasa tidak sanggup untuk mengucapkan selamat tinggal, khususnya kepada Malaysia kali ini. Tidak kira di mana jua saya berada pada masa hadapan, sebahagian hati saya telah menetap di Malaysia buat selamanya.

Artikel Berkaitan:

Saya akan ingat Menara Berkembar Petronas bersinar di bawah cahaya matahari, pergerakan aliran trafik tidak terhenti di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, kibaran bendera dan perarakan bersemangat pada sambutan Hari Kebangsaan Malaysia, senyuman mesra pada wajah setiap rakyat Malaysia, iklim tropika dan pantai yang menawan hati, serta kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat Malaysia.

Saya akan ingat rasa tanggungjawab semasa membincangkan kerjasama China-Malaysia bersama pemimpin dan wakil daripada pelbagai sektor di Malaysia. Saya akan ingat rasa gembira dan bangga pada majlis pelancaran semula Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu projek flagship kerjasama China-Malaysia di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Saya juga teruja pada majlis pengeksportan durian Musang King sejuk beku dalam bentuk biji ke China. Saya juga akan ingat saat bahagia apabila melihat pasangan panda, Xing Xing dan Liang Liang berseronok dengan kanak-kanak di Zoo Negara.

Saya tidak akan lupa perasaan terharu pada majlis pelancaran filem Hadiah Masa untuk menyambut ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik China-Malaysia tahun lalu. Saya tidak akan lupa aroma dodol yang saya masak bersama dengan kawan-kawan Muslim pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya yang diadakan di Kedutaan China buat julung kalinya.

Juga sambutan ‘Tahun Baru Cina yang terpanjang di dunia’ di Malaysia, dengan menikmati keunikan melambung Yee Sang, saya juga merasai keazaman kaum Cina di Malaysia dalam mewariskan kebudayaan Tionghoa.

Saya tidak akan lupa, apabila wabak Covid-19 melanda Wuhan, rakyat Malaysia secara sukarela memberikan sumbangan derma wang dan barangan yang diperlukan kepada China, serta menghantar video yang memberi semangat ‘Wuhan, jia you!’ (bertabahlah Wuhan!).

Saya tidak akan lupa saat yang mengharukan apabila Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ‘wo men dou shi yi jia ren’ (kita adalah sekeluarga) pada majlis penyerahan sumbangan bekalan perubatan kerajaan China kepada Malaysia.

Saya tidak akan lupa kegigihan dan keberanian yang ditunjukkan oleh petugas-petugas perubatan Malaysia ketika saya menyerahkan sumbangan bekalan perubatan kepada Hospital Kuala Lumpur dan lain-lain. Saya tidak dapat mengira berapa kali sudah saya sebutkan peribahasa Melayu “Bukit sama didaki, lurah sama dituruni” pada pelbagai upacara penyerahan sumbangan. Peribahasa ini telah terpahat dalam ingatan saya manakala persahabatan kita telah terukir di hati saya.

Cepatnya 1,095 hari berlalu. Terlalu banyak saat yang saya berkongsi dengan Malaysia sukar dilupakan. Terlalu banyak kenangan manis akan saya bawa pulang. Yang saya tinggalkan hanyalah rasa berterima kasih dan kesyukuran. Sejak hari pertama saya tiba di Malaysia, saya amat beruntung kerana diberi sokongan dan bantuan oleh kawan-kawan Malaysia.

Ini telah membuka jalan kepada pencapaian yang diingini dalam persahabatan dan kerjasama China-Malaysia. Daripada pemimpin kerajaan dan sektor perniagaan yang bertekad untuk mengembangkan persahabatan China-Malaysia, pertubuhan yang giat mendorong interaksi dua hala, kumpulan pemikir dan institusi yang mengkaji hubungan China-Malaysia, sehingga warga media yang berkongsi berita mengenai kerjasama China-Malaysia, malah warganet yang pernah menekan butang ‘suka’ untuk persahabatan China-Malaysia di media sosial.

Teroka

Dalam pada itu, saya juga khuatir akan perkembangan semasa dunia akibat pandemik Covid-19 dan kebangkitan dasar perlindungan, populisme dan unilateralisme yang mengancam perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi. Ia menegaskan lagi perlunya matlamat bersama untuk mencapai keamanan, pembangunan dan kerjasama menang-menang.

Mujur China dan Malaysia berkongsi konsensus yang meluas dalam mendorong kerjasama serantau serta menjaga sistem perdagangan antarabangsa. Kini China dan Malaysia adalah antara negara-negara yang berjaya mengawal wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi. Saya menantikan China dan Malaysia menerokai lagi kaedah untuk memulihkan dan merangsangkan perdagangan dan pelaburan dua hala, menggalakkan interaksi antara rakyat kedua-dua negara, menstabilkan rantaian industri kerjasama serta terus mengembangkan pemacu kerjasama baharu.

Saya yakin, selagi kedua-dua negara bekerjasama, kita pasti boleh mengharungi apa sahaja kesusahan. Kerjasama menang-menang antara China dan Malaysia akan menjadi teladan kepada negara-negara lain.

Saya akan sentiasa merindui Malaysia, rakyatnya serta persahabatan kita, di samping itu terus menyumbangkan usaha demi hubungan China-Malaysia.

Oleh sebab kesibukan jadual kerja, saya tidak berpeluang menjelajahi semua negeri di Malaysia, terdapat banyak lagi keindahan belum sempat diterokai.

Namun saya tidak anggap ini sebagai sesalan, ia bermakna jalinan saya dengan Malaysia belum berakhir dan akan disambung. Setiap pengakhiran adalah satu permulaan yang baharu. Pada suatu hari nanti, kita pasti akan bertemu lagi.

Selamat tinggal dan jumpa lagi, Malaysia!

* Bai Tian ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia