Tiada agenda damai Al-Qaeda di Afrika

Kawasan utara Burkina Faso dikawal tentera Perancis bagi menangkis serangan daripada kumpulan-kumpulan jihad di Afrika. - Foto AFP
Kawasan utara Burkina Faso dikawal tentera Perancis bagi menangkis serangan daripada kumpulan-kumpulan jihad di Afrika. - Foto AFP
A
A
A

PEMILIHAN ketua baharu Al-Qaeda di Islamik Maghrib (AQIM) atau Barat Afrika iaitu Abu Obaida Yusuf al-Annabi yang dilahirkan di Algeria pada tahun 1969 mencetuskan persoalan tentang hala tuju kumpulan Islam itu.

Kumpulan itu berpangkalan di Afrika Utara dan objektif penubuhannya adalah untuk melaksanakan undang-undang syariah di Algeria, Mali, Mauritania, Libya, Tunisia dan Niger.

Ia juga dilaporkan melakukan satu siri serangan yang membawa maut termasuk di Mali pada November 2015, di Burkina Faso pada Januari 2016 dan pada Mac 2016 di Ivory Coast.

Kumpulan itu mempunyai sejarah penubuhannya yang bermula dari Kumpulan Tentera Islam (GIA) pada awal tahun 1990an.

Pemimpin GIA ketika itu, Hassan Hattab berpecah daripada GIA berhubung perbezaan ideologi dan kemudian menubuhkan Kumpulan Salafi Untuk Pengajaran dan Memerangi (GSPC).

Namun, pada September 2006, GSPC bergabung dengan Al-Qaeda dan dijenamakan semula sebagai Al-Qaeda di AQIM pada bulan yang seterusnya.

Di Mali, AQIM pernah melancarkan peperangan ke atas kerajaan Perancis bermula pada tahun 2013 selain penculikan dan pemerasan.

Pada tahun 2008, pemimpin kumpulan tersebut ketika itu, Abdelmalek Droukdel memberitahu akhbar New York Times bahawa: "Matlamat utama kita adalah sama dengan Al-Qaeda (ibu kepada penubuhan kumpulan AQIM)."

Artikel Berkaitan:

Abdelmalek Droukdel iaitu pemimpin Al-Qaeda di Islamik Maghrib atau Barat Afrika mati dibunuh oleh tentera Perancis pada Jun lalu. - Foto AFP
Abdelmalek Droukdel iaitu pemimpin Al-Qaeda di Islamik Maghrib atau Barat Afrika mati dibunuh oleh tentera Perancis pada Jun lalu. - Foto AFP

Beliau turut berkata, matlamat kumpulan tersebut adalah untuk melaksanakan undang-undang syariah.

Menurut portal Counter Extremism Project, AQIM mempunyai badan pembuat keputusan iaitu Majlis al-Ayan, memiliki penerbitannya sendiri dikenali sebagai Penerbitan Media Al-Andalus dan Majlis Syaria yang menguruskan hal ehwal perundangan Islam.

Bagaimanapun, tentera Perancis dilaporkan membunuh Droukdel di Mali pada 4 Jun 2020.

Pada 21 November 2020, AQIM mengeluarkan video yang menunjukkan mayat pemimpinnya itu dan mengumumkan Abu Obaida Yusuf al-Annabi iaitu bekas pemimpin Majlis al-Ayan sebagai ketuanya yang baru.

Pemimpin baharu itu dikenali sebagai pejuang jihad veteran di Afrika Utara tetapi beberapa penganalisis tidak pasti lagi dengan pendekatan yang digunakan ketika beliau menerajui kumpulan tersebut.

Menurut pengasas bersama Projek JOS yang memantau propaganda kumpulan pelampau menerusi online, Laurence Bindner, Annabi telah berikrar memberi kesetiaannya atas nama kumpulan itu kepada ketua Al-Qaeda sebelum ini iaitu Ayman al-Zawahiri pada tahun 2011.

"Beliau juga menjadi penulis kepada beberapa kenyataan utama kumpulan berkenaan sejak beberapa tahun lalu," tambahnya kepada AFP.

Amerika Syarikat (AS) juga telah menyenaraikan Annabi dalam senarai pengganasnya sejak tahun 2015 dan ia diikuti dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun berikutnya.

AS juga menganggap bahawa Annabi kini masih berada di Algeria.

Seorang penyelidik di Institut Hubungan Antarabangsa Perancis (IFRI), Elie Tenenbaum berkata, langkah pertama yang akan diambil oleh pemimpin baharu itu adalah kunci utama bagi menentukan bagaimana beliau mahu menentukan kedudukan kumpulan AQIM.

Abu Obaida Yusuf al-Annabi dilantik mengetuai kumpulan Al-Qaeda di Islamik Maghrib atau Barat Afrika menggantikan Abdelmalek Droukdel baru-baru ini. - Foto AFP
Abu Obaida Yusuf al-Annabi dilantik mengetuai kumpulan Al-Qaeda di Islamik Maghrib atau Barat Afrika menggantikan Abdelmalek Droukdel baru-baru ini. - Foto AFP

"Adakah beliau akan menamakan ketua-ketua baharu unit pertempurannya di selatan Algeria?," soalnya.

Kumpulan AQIM juga mempunyai hubungan rumit dengan Iyad Ag Ghaly yang berketurunan Mali dan mengetuai Kumpulan Untuk Menyokong Islam dan Muslim iaitu sekutunya,

Ghaly juga telah menyatakan kesetiaan kepada Al-Qaeda seperti kumpulan pejuang lain di dunia.

"Terdapat ketegangan antara para pejuang (Islam) di utara Mali dan (pendekatan) meminggirkan Emir AQIM di Algeria," kata Tenenbaum.

Dalam satu temu ramah yang jarang dilakukan dengan stesen televisyen Perancis iaitu 24 pada tahun lalu, Annabi menjelaskan hasratnya untuk melihat para pejuang jihad dibebaskan sebagai pertukaran untuk membebaskan seorang warga Perancis, Sophie Petronin yang diculik di Mali pada tahun 2016.

Petronin kemudian dibebaskan pada Oktober lalu selepas pihak berkuasa Mali membebaskan kira-kira 200 pejuang jihad itu.

Pembebasan para pejuang itu menunjukkan pertempuran antara kumpulan-kumpulan jihad tidak akan berakhir.

"Masa untuk perdamaian telah berakhir dan tidak lagi menjadi satu agenda," katanya kepada AFP. - Agensi