Negara rahmah dan vaksin Covid-19

KHAZANAH MINDA

A
A
A

Antara ciri negara rahmah ialah pemimpin dan rakyatnya berada dalam keadaan saling mengambil berat tentang kesejahteraan masing-masing. Majoriti rakyat menghormati barisan menteri pemerintah yang dipilih menurut lunas-lunas demokrasi.

Saya sebut ‘majoriti’ kerana mustahil semua rakyat mengasihi barisan pemerintah yang tidak dipilihnya. Sehubungan itu, kerajaan atau pemerintah yang menduduki tampuk kuasa ialah kerajaan untuk seluruh negara dan bukan kerajaan untuk parti yang memerintah sahaja.

Dalam negara rahmah juga terdapat hubungan antara rakyat dengan raja menurut sistem raja berperlembagaan yang saling kasih dan ambil berat.

Raja-rajanya adalah raja penyayang dan peduli serta tidak bertindak atau pilih kasih. Rakyat pula menjunjung kasih yang datang daripada sanubari serta keikhlasan diri mereka.

Sistem ekonomi, siasah serta kemasyarakatan umum juga menyumbang kepada sejauh mana kerahmatan wujud dalam negara kita. Dalam suasana kerahmatan yang sedang disemarakkan dengan penuh kesusahan ini di Malaysia kini, Covid-19 melanda negara kita.

Berkaitan dengan vaksin Covid-19, semua kerajaan di dunia dan juga mana-mana kerajaan di Malaysia sedang berhadapan dengan beberapa cabaran.

‘Mana-mana kerajaan’ bermakna sesiapa sahaja yang diamanahkan untuk memegang tampuk kerajaan kerana kerajaan Persekutuan boleh berubah di Malaysia. Tiga daripada cabaran ini adalah seperti berikut:

Pertama, keberkesanan serta keselamatan vaksin ini mestilah menjadi subjek kajian dan pemeriksaan saintifik yang beretika. Ini mestilah difahami serta diterima oleh masyarakat umum.

Artikel Berkaitan:

Kedua, persaingan Big Pharma atau antara syarikat-syarikat farmaseutikal yang bermanifestasikan pelaburan kewangan-politik, dakwaan serta dakwaan balas tidak sepatutnya merosakkan usaha mulia untuk menjaga kesihatan kemanusiaan.

Seperti banyak negara lain, Malaysia boleh terjebak dalam kekeliruan untuk memilih vaksin yang mana satu; adakah produk China atau Rusia dan bagaimana pula produk Eropah Barat dan Amerika.

Ketiga ialah gerakan antivaksin sedunia yang mempunyai penyokongnya yang lantang di Malaysia.

Keterbukaan serta sifat rahmah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh menimbangkan langkah-langkah berikut. Sebuah Jawatankuasa Pakar (JP) yang terdiri daripada kumpulan pakar serta pemegang taruh tanpa mengira afiliasi siasah dibentuk semasa produksi vaksin ini. Reviu yang berkala dan berterusan semasa implementasi Polisi Vaksin Covid-19 Malaysia (PVCM).

Penubuhan JP yang menyelia kemajuan pembikinan vaksin ini bukan sahaja diperlukan tetapi juga merupakan cara untuk mempertahankan PVCM KKM.

Penglibatan semua pihak dan pemegang taruh bermakna projek yang sangat penting ini dipunyai oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau kepercayaan.

Dialog yang berterusan antara KKM dengan para pemegang taruh mestilah digalakkan dan disambung, dengan tujuan untuk memberi pencerahan kepada masyarakat tentang projek ini dan memujuk mereka yang duduk di atas pagar dan berasa sangsi.

Kerjasama serta sikap keterbukaan ini boleh mengurangkan stres di Parlimen dan masyarakat yang muncul daripada kejahilan dan kecurigaan.

Slogan seperti ‘Kita Mesti Menang!’ yang mula dilaungkan sejak bulan April tahun 2020 ini menyerlahkan keangkuhan manusia. Slogan itu tidak langsung menunjukkan bahawa insan yang sangat lemah mestilah bersifat tawaduk dan amat memerlukan bantuan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Kita hanya boleh menang dalam mengendalikan wabak ini dengan bantuan serta kerahmatan Tuhan.

Sebab itulah bila dan jika penggunaan vaksin yang selamat ini menjadi realiti satu hari nanti, janganlah pula manusia anggap ia sebagai magis baharu atau dewa syifak baharu yang boleh menghapuskan Covid-19 sepenuhnya.

Hakikatnya ialah ALLAH sahajalah yang Maha Agung, yang Maha Mengetahui. Dia sahajalah penyembuh utama bagi seluruh umat manusia.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penggiat masyarakat dan ahli Akademi Profesor Malaysia