X

Kindly register in order to view this article
!

Hasilkan ikan masin lebih mudah, pantas

Mesin Mini Pengering Jenis Kubah Berkuasa Solar yang boleh menghasilkan produk ikan masin dengan lebih mudah dan cepat.
A
A

BATU PAHAT - Jabatan Perikanan Negeri Johor menghasilkan Mesin Mini Pengering Jenis Kubah Berkuasa Solar yang dapat menghasilkan produk ikan masin dengan lebih mudah dan cepat.

Pengarahnya, Noraishah Hashim berkata, mesin itu dibangunkan Bahagian Kejuruteraan Jabatan Perikanan melibatkan kos sebanyak RM45,000.

"Menerusi mesin ini tempoh masa pengeringan ikan masin dapat disingkatkan. Sebelum ini menggunakan kaedah lama masa untuk mengeringkan ikan memakan tempoh dua hingga tiga hari.

"Namun apabila menggunakan mesin ini, tempoh pemprosesan dapat disingkatkan kepada satu hari setengah bergantung kepada ketebalan ikan yang diproses," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Majlis perasmian projek berkenaan diadakan melibatkan Komuniti Perikanan (myKP) di Pangkalan Sungai Ayam, di sini semalam.

Noraishah menyerahkan sijil kepada Abdullah sebagai simbolik penyerahan Mesin Mini Pengering Jenis Kubah Berkuasa Solar di Pangkalan Sungai Ayam, Batu Pahat, semalam.
Noraishah menyerahkan sijil kepada Abdullah sebagai simbolik penyerahan Mesin Mini Pengering Jenis Kubah Berkuasa Solar di Pangkalan Sungai Ayam, Batu Pahat, semalam.

Ketua Jaringan Perikanan (KJP), Abdullah Koming yang mewakili Komuniti myKP Pangkalan Sungai Ayam secara simbolik menerima mesin itu.

Noraishah berkata, mesin itu juga dapat memastikan tahap kebersihan produk terjamin kerana tidak perlu terdedah dengan persekitaran seperti habuk dan debu termasuk hujan.

Jelasnya, antara ikan yang boleh dikering menggunakan mesin itu termasuk ikan pari, ikan gelama dan ikan duri.

Menurutnya, setakat ini penerima mesin berkenaan hanya melibatkan komuniti tersebut yang terdiri daripada 47 ahli.

"Projek ini masih dalam proses percubaan dan sekiranya berjaya, jabatan berhasrat untuk mengembangkan teknologi ini kepada industri pemprosesan ikan kering di seluruh Johor.

"Jabatan memperkenalkan inisiatif ini kerana mahu memastikan komuniti perikanan di Johor tidak ketinggalan dengan teknologi terkini yang dapat menjamin penghasilan ikan kering yang lebih berkualiti dan menjimatkan masa," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!