Sesi bantahan cukai taksiran DBKL diadakan secara online

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sesi Pendengaran Bantahan Cukai Taksiran (Cukai Pintu) bagi penggal pindaan 1 April dan 1 Julai akan diadakan secara dalam talian selama tiga hari mulai 1 hingga 3 Disember ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan sesi itu akan melibatkan pembantah iaitu mereka yang telah mengemukakan bantahan secara bertulis sebelum 22 November lepas.

“DBKL memutuskan Sesi Pendengaran Bantahan Cukai Taksiran (Cukai Pintu) dikendalikan secara dalam talian (online) selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 6 Disember.

“Semua pembantah yang layak akan diberi peluang supaya bantahannya didengar dan pemakluman masa serta pautan (link) akan dimaklumkan melalui Notis Mendengar Bantahan,” menurut kenyataan itu hari ini.

DBKL melaksanakan proses penilaian bagi maksud cukai taksiran tahunan terhadap harta-harta persendirian yang terlibat dengan pindaan Senarai Nilaian untuk dikuatkuasakan mulai penggal pindaan 1 April, 1 Julai, 1 Oktober dan 1 Januari 2021.

Proses ini merujuk kepada peruntukan Seksyen 144 Akta 171 mana-mana pihak yang terkilan dengan pindaan Senarai Nilaian atas mana-mana daripada alasan yang dinyatakan dalam Seksyen 142 Akta yang sama boleh membuat bantahan secara bertulis kepada Pihak Berkuasa Tempatan tidak kurang daripada 10 hari sebelum masa yang ditetapkan dalam notis itu dan hendaklah diberi peluang untuk didengar sendiri atau melalui seorang ejen yang diberi kuasa.

Menurut DBKL, bagi mana-mana pembantah yang layak dan belum menerima pemakluman masa serta pautan (link) dimaksudkan boleh menghubungi talian 03-26171000 atau 03-26171038 untuk semakan dengan menyatakan maklumat kedudukan harta atau nombor fail harta berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, DBKL hari ini merobohkan dua gerai yang dibina tanpa kelulusan di Pasar Pagi D'Rejang, Setapak.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan pertama diambil di bawah Seksyen 46 (1) (Roboh dan Pindah Halangan) di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana halangan mendirikan struktur di tempat awam.

“Struktur kedua di bawah Seksyen 46 (1) (Roboh dan Pindah Halangan) di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana mendirikan gerai tinggal di atas tapak projek DBKL (Tong Sampah),” katanya.

Menurut DBKL, pembinaan tanpa kebenaran ini bukan sahaja menyalahi peraturan malah menimbulkan kacau ganggu, halangan dan kekotoran. - Bernama