Jaga keselamatan elektrik ketika musim tengkujuh

Shamsul Anuar
Shamsul Anuar
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan keselamatan elektrik di kediaman masing-masing terutama jika rumah mereka dinaiki air akibat banjir kilat atau musim tengkujuh pada penghujung tahun.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menasihati orang ramai agar mematuhi nasihat yang diberikan oleh pihak berkuasa termasuklah amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET).

Beliau berkata, orang ramai disarankan menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) segera sekiranya premis dinaiki air pada paras berbahaya supaya bekalan dapat dihentikan demi keselamatan.

“Saya telah dimaklumkan bahawa apabila banjir surut dan keadaan kembali selamat, bekalan elektrik akan disambung semula oleh TNB,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan untuk membersihkan dan memeriksa dahulu pendawaian dan peralatan elektrik yang ditelenggami air sebelum digunakan bagi memastikan ia benar-benar selamat selepas banjir surut.

“Hal ini termasuk membersihkan fius atau pemutus litar daripada kotoran dan menggantikannya sekiranya perlu dan memastikan soket alir keluar (outlet) yang ditenggelami air berada dalam keadaan kering dan bersih sebelum digunakan," katanya.

Menurutnya, sekiranya terdapat kerosakan yang berlaku pada pendawaian dan peralatan elektrik yang dimasuki air, KeTSA menasihati pengguna mendapatkan perkhidmatan juruelektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk pemeriksaan dan pengujian pendawaian dan peralatan elektrik yang ditelenggami air.

Dalam kenyataan sama, Dr Shamsul berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa TNB telah membuat persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada akhir tahun walaupun negara sedang berdepan penularan koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, TNB juga memaklumkan bahawa mereka akan segera menggerakkan pasukan teknikalnya serta aset-aset berkaitan bagi menghadapi situasi banjir demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

“Selain menjana elektrik, empangan-empangan besar milik TNB pula turut berfungsi sebagai empangan tembatan banjir yang sangat diperlukan terutamanya di musim hujan lebat bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Persiapan sewajarnya juga telah dilaksanakan TNB di empangan-empangan hidro miliknya termasuk mengadakan latihan pengungsian (drill) bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan dan penduduk sekitar, selain menurunkan paras tasik (reservoir) ke tahap yang minimum sebagai persediaan menerima aliran masuk (inflow) air hujan yang tinggi,” katanya apabila dimaklumkan dalam sebuah taklimat oleh TNB dan ST.

Dalam kenyataan sama, Shamsul Anuar mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi perilaku anak-anak agar tidak menghampiri pencawang dan tiang elektrik yang ditelenggami air supaya perkara tidak diingini dapat dielakkan.

“Saya juga telah meminta TNB meningkatkan tahap komunikasi dengan pelbagai agensi atau pihak berkaitan dalam mengurus di situasi banjir atau bencana lain serta meningkatkan kesedaran dan menyediakan maklumat lengkap kepada rakyat,” katanya.