Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 1,135 orang

Sebuah rumah yang dinaiki air di Kampung Teladas, Air Putih di Kemaman hari ini.
Sebuah rumah yang dinaiki air di Kampung Teladas, Air Putih di Kemaman hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 184 keluarga di daerah Kemaman dipindahkan di tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) sejak pagi tadi menjadikan keseluruhan mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak kepada seramai 1,135 orang.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa banjir di daerah tersebut meningkat kepada 758 orang sehingga jam 8 malam ini.

Beliau berkata, operasi pemindahan mangsa banjir ke tiga buah PPS iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Air Putih, Balairaya Kampung Teladas dan Masjid Kampung Dadong bermula sejak jam 10 pagi tadi.

Beliau berkata, keadaan hujan lebat menyebabkan kawasan berisiko banjir di sepanjang Sungai Kemaman mungkin terkesan dalam tempoh 24 hingga 48 jam lagi.

“Taburan hujan lebat yang agak banyak pada awal pagi tadi menyebabkan paras air naik mendadak di Kemaman.

“Paras air di beberapa sungai seperti Sungai Kemaman dan Sungai Tebak juga melebihi paras bahaya dan aliran sungai berkenaan akan turun ke hilir, terus ke muara Kemaman di Chukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, daerah Dungun mencatatkan seramai 329 mangsa banjir daripada 96 buah keluarga yang ditempatkan di dua buah PPS di daerah terbabit, manakala di Kuala Nerus seramai 17 mangsa banjir diikuti Kuala Terengganu (17) dan Marang (14).

Beliau berkata, sehingga jam 8 malam tadi, sebanyak 296 buah keluarga melibatkan 1,135 mangsa banjir ditempatkan di sembilan buah PPS di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, sehingga jam 6 petang tadi, air di Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih melepasi 1.48 meter daripada paras bahaya (14 meter) manakala Sungai Tebak pula sebanyak 0.29 meter melebihi paras bahaya (18.5m).