Empat kluster baharu libatkan kes di tempat kerja dikesan

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Empat kluster baharu Covid-19 direkodkan hari ini di Sabah, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang membabitkan kes di tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Jalan Tuaran dikesan di Sabah melibatkan daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran adalah hasil saringan di tempat kerja.

“Sehingga hari ini, sejumlah 86 individu disaring dengan 43 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan di sini.

Beliau berkata, di Negeri Sembilan Kluster Jalan Haruan yang melibatkan daerah Seremban juga hasil saringan pekerja di sebuah kilang dengan 118 kes dikesan positif Covid-19 terdiri daripada 10 kes warganegara dan 108 bukan warganegara.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Tapak Bina Puteh Lama di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pula melaporkan kes positif melalui saringan bersasar ke atas pekerja di sebuah tapak pembinaan sejak semalam.

Menurut beliau, sehingga hari ini, sejumlah 820 individu disaring dengan 139 kes dikesan positif Covid-19 bagi kluster berkenaan.

Selain itu, Kluster Beringin di daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang melibatkan kes pekerja di dua kilang di negeri berkenaan, katanya.

“Kes indeks (kes ke-51576) dilaporkan positif Covid-19 pada 19 November melalui saringan individu bergejala. Sehingga 27 November, sejumlah 3,116 individu disaring, dengan 37 kes dikesan positif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu kluster dilaporkan tamat hari ini iaitu Kluster Omadal di Semporna, Sabah.

Berikutan empat kluster baharu dikenal pasti itu, jumlah terkumpul kluster adalah sebanyak 349 setakat hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau 176 kluster. - Bernama