Madius hantar usul mansuh Jasa

Madius
Madius
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau telah menghantar satu usul berhubung pemansuhan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) kepada Dewan Rakyat semalam.

Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, walaupun Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di peringkat dasar bagi kementeriannya mencadangkan beberapa perubahan terutama butiran mengenai perluasan Jasa, namun beliau tidak berganjak untuk memotong sepenuhnya peruntukan yang dicadangkan untuk jabatan itu.

"Menjangkakan status quo sekali pun setelah pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia bahawa peruntukan Jasa akan dikurangkan, saya telah menghantarkan satu usul pada pagi semalam.

"Usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bahawa jumlah sebanyak RM1,242,464,900 untuk Maksud B 47 di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam Jadual kepada Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 (DR 16/2020) hendaklah dikurangkan sebanyak RM81,500,000.

"Langkah ini saya ambil untuk memastikan supaya Jasa atau apa pun nanti jenama agensi itu hendaklah dimansuhkan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap Speaker Dewan Rakyat menerima dan membenarkannya untuk membentangkan usul itu ketika Perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan sebanyak RM85.5 juta akan diperuntukkan kepada Jasa namun semalam diumumkan peruntukkan itu akan dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Peruntukan Jasa sah dikurangkan

KKMM jamin peruntukan Jasa dikurangkan: Saifuddin