Op Selamat: 6,000 saman dikeluarkan di Terengganu

Aidi (kanan) melihat Yahaya (tengah) memakaikan topi keledar kepada salah seorang pengguna jalan raya ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baharu Cina 2019 peringkat negeri di hadapan Bazar Padang Negara, Batu Burok, hari ini.
Aidi (kanan) melihat Yahaya (tengah) memakaikan topi keledar kepada salah seorang pengguna jalan raya ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baharu Cina 2019 peringkat negeri di hadapan Bazar Padang Negara, Batu Burok, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu mengeluarkan 6,000 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang lima hari Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina yang dilancarkan bermula 29 Januari lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,577 saman dikeluarkan kepada pesalah jalan raya kerana melanggar enam kesalahan utama yang akan dikenakan kompaun mandatori.

Menurutnya. enam kesalahan itu adalah pandu laju, tidak patuh aliran lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, potong barisan, menggunakan lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar.

“Berdasarkan rekod, pandu laju mencatatkan jumlah saman tertinggi iaitu 2437 kes diikuti langgar lampu isyarat (87), potong garisan berkembar (27), guna telefon bimbit (24) dan potong garisan sebanyak dua kes.

“Setakat ini, kita belum mengeluarkan saman kerana kesalahan menggunakan lorong kecemasan,” katanya pada Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baharu Cina 2019 peringkat negeri oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Yahaya Ali di hadapan Bazar Padang Negara, Batu Burok, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 1,500 cenderahati termasuk 150 topi keledar turut diedarkan kepada pengguna jalan raya.

Aidi berkata, dari segi perkembangan aliran trafik sebanyak 26,000 kenderaan sudah direkodkan melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sehingga kini dan jumlahnya meningkat berbanding 15,000 kenderaan pada tahun lepas.

“Sebanyak 150,000 kenderaan dijangka memasuki Terengganu sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina dan kita menugaskan 34 pegawai dan 203 anggota sepanjang Op Selamat berlangsung.

Artikel Berkaitan:

“Kita nasihatkan pengguna jalan raya terutama pemandu yang berjalan jauh supaya sentiasa patuh dengan peraturan jalan raya bagi mengelak berlakunya kemalangan terutama kemalangan maut,” katanya.