MP PKR luah kecewa arahan lulus Belanjawan 2021, tubuh kaukus

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua dari kiri) menerima ucapan tahniah daripada Menteri-Menteri Kabinet selepas ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) perbekalan 2021 peringkat dasar pada mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen semalam. - Foto Bernama
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua dari kiri) menerima ucapan tahniah daripada Menteri-Menteri Kabinet selepas ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) perbekalan 2021 peringkat dasar pada mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen semalam. - Foto Bernama
A
A
A

ARAHAN yang dikeluarkan semalam oleh pimpinan pembangkang bagi meluluskan peringkat dasar Belanjawan 2021 amat mengecewakan banyak pihak.

Kami sudahpun bersedia untuk menolak belanjawan tersebut sehinggalah arahan di minit akhir yang mengikat ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengikut kepatuhan disiplin parti.

Pun demikian, para penyokong kami dengan jelas menyuarakan keperluan membulat tekad dan istiqamah dalam mempertahan kebajikan, kepentingan rakyat dan negara.

Jelas bahawa selaku wakil rakyat pembangkang yang bertanggungjawab, kepercayaan rakyat bukan sahaja harus dihormati tetapi dilunaskan menerusi tindakan sewajarnya.

Ahli Parlimen telah dipilih oleh rakyat untuk mewakili kepentingan mereka; dan sepanjang menggalas tanggungjawab, jelas bahawa kami tidak sempurna; tetapi perlu terus berusaha memenuhi harapan ramai.

Oleh itu, izinkan kami berusaha memperbaiki prestasi menerusi pembentukan kaukus ini.

Setelah semalaman merenung peristiwa belanjawan, kami telah memutuskan untuk bersama-sama memperjuangkan dan menekuni perincian dasar alternatif yang bertumpu kepada peranan kami selaku wakil-wakil rakyat dari pihak pembangkang.

Belanjawan 2021 gagal menyediakan jaring keselamatan sosial yang mencukupi untuk warga pekerja di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dengan hanya bertumpu kepada langkah populis gesaan ramai ahli politik berkisar pengeluaran awal KWSP, kerajaan hanya memudahkan laluan penabung menggunakan dana simpanan masa depan, bukannya melakukan sedaya upaya untuk membantu rakyat menabung.

Kerajaan semalam bersetuju untuk memperluaskan pengeluaran skim i-Sinar daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. - Foto Bernama
Kerajaan semalam bersetuju untuk memperluaskan pengeluaran skim i-Sinar daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. - Foto Bernama

43% daripada senarai pencarum di bawah umur 55 tahun, mempunyai simpanan kurang daripada RM10 ribu melalui Akaun 1.

Dengan simpanan yang tidak bertambah, pihak kerajaan lebih rela membiarkan rakyat menikmati kehidupan persaraan dengan pendapatan yang tidak lebih daripada RM41 sebulan selama dua puluh tahun yang mendatang. Sebaiknya kerajaan dahulukan dana, selamatkan simpanan rakyat.

Terdapat juga kekurangan fokus kepada penjanaan peluang pekerjaan yang kalis masa depan, termasuk kalis pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi berikutnya. Keadaan ekonomi dijangka bertambah buruk menjelang 2021.

Belanjawan yang hanya menabur janji-janji melalui hasil pendapatan dan memotong sebegitu banyak kemudahan penting yang pastinya tidak memenuhi keperluan rakyat.

Ini menjurus ke arah permasalahan yang lebih besar apabila terus dimainkan seperti kesan terhadap perang pemerdagangan global dan komitmen dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Kaukus ini percaya bahawa kerajaan pada masa ini mesti memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan dasar yang konkrit dan terperinci mengenai isu-isu utama semasa:

- Peluang pekerjaan yang menepati keperluan masa depan

- Perjanjian baharu yang hijau

- Perluasan jaringan keselamatan sosial

Sebagai ahli Parlimen, semestinya mewakili komponen koalisi di dalam Dewan Rakyat. Bahkan, sebagai anggota pembangkang dalam demokrasi berparlimen, ahli Parlimen bertanggungjawab dalam menyediakan asas sistem semak dan imbang yang secukupnya dalam mengekang kebobrokan pihak kerajaan.

Kita juga tidak boleh mengkesampingkan isu keadilan sosial dan anti rasuah yang dijuarai oleh PKR, yakni selama ini banyak diangkat oleh para penyokong kita. Inilah prinsip-prinsip yang akan terus diperjuangkan sebagai pembuat dasar pembangkang yang teguh, untuk menjulang bakti dan kesetiaan kepada raja dan negara.

Akmal Nasir, Ahli Parlimen Johor Bahru (PKR)

Hassan Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR)

Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh (PKR)