Negeri Sembilan bentang belanjawan defisit RM560 juta

Aminuddin dan Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Khidir Majid (kiri) menunjukkan buku Belanjawan 2021 Negeri Sembilan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga DUN Sembilan di Wisma Negeri hari ini. - Foto Bernama
Aminuddin dan Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Khidir Majid (kiri) menunjukkan buku Belanjawan 2021 Negeri Sembilan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga DUN Sembilan di Wisma Negeri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Sembilan hari ini membentangkan belanjawan defisit berjumlah RM560 juta bagi 2021 berbanding RM507 juta pada Belanjawan 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika membentangkan belanjawan yang bertemakan ‘Merangsang Ekonomi dan Memperkasa Rakyat’ itu yang meliputi 31 inisiatif baharu berkata, ia merangkumi RM560 juta anggaran mengurus dan RM448 juta anggaran hasil bagi tahun tersebut.

“Ini menjadikan Belanjawan 2021 ini adalah belanjawan defisit sebanyak RM112 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan bagi tahun 2021 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini hari ini.

Beliau berkata, anggaran belanjawan mengurus bagi tahun 2021 meliputi emolumen sebanyak RM201.22 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM105.04 juta), perolehan aset (RM4.19 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM228 juta) dan perbelanjaan lain (RM21.55 juta).

“Melihat kepada keberkesanan dan penerimaan yang amat baik daripada masyarakat, kerajaan negeri bersetuju untuk mengekal dan memperluaskan 22 inisiatif sedia ada pada tahun 2021. Selain daripada itu, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan 31 inisiatif baharu, menjadikan keseluruhan inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun 2021 adalah sebanyak 53 inisiatif,” katanya.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, bagi anggaran belanjawan pembangunan, ia merangkumi pembangunan sosial sebanyak RM46.18 juta, kemudahan infrastruktur (RM30.65 juta), pentadbiran (RM30.28 juta), pertanian (RM19.91 juta), kerohanian (RM13.72 juta) dan pelancongan (RM12.26 juta).

“Sehubungan itu, sukacita saya mencadangkan Anggaran Belanjawan Pembangunan Tahun 2021 adalah sebanyak RM153 juta iaitu kenaikan RM51.8 juta atau 51.19 peratus berbanding tahun 2020. Jumlah ini adalah peruntukan pembangunan terbesar yang belum pernah dibentangkan oleh kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, secara keseluruhannya, Hasil Bukan Cukai kekal sebagai penyumbang utama hasil negeri iaitu sebanyak RM230.49 juta ataupun 51 peratus dan jumlah berkenaan adalah lebih rendah berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak RM9.63 juta atau 4.01 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Hasil Cukai dijangka menyumbang sebanyak RM155.60 juta atau 35 peratus dengan peningkatan sebanyak RM0.45 juta atau 0.29 peratus. Selain daripada itu, kerajaan negeri juga dijangka memperoleh sebanyak RM61.91 juta atau 14 peratus daripada pelbagai Terimaan Bukan Hasil seperti bayaran balik pinjaman, pemberian dan caruman Kerajaan Persekutuan.

“Ini menjadikan keseluruhan hasil negeri pada tahun 2021 adalah sebanyak RM448 juta. Penurunan anggaran hasil tahun 2021 adalah berdasarkan unjuran penurunan kutipan premium tanah sebanyak RM11.8 juta dan kehilangan hasil pemberian Cukai Pelancongan 2020 sebanyak RM2.47 juta daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Pada pembentangan belanjawan itu yang menggariskan empat strategi dan pelan tindakan utama dengan lapan bidang tumpuan, Menteri Besar berkata, kedudukan rezab kewangan negeri yang kukuh sebanyak RM1.02 bilion telah membolehkan kerajaan negeri menetapkan peruntukan perbelanjaan tahun 2021 sebanyak RM560 juta.

Menurutnya, empat strategi berkenaan adalah merangsang ekonomi rakyat, mewujudkan persekitaran sejahtera ke arah kehidupan berkualiti, membentuk citra sumber daya insan unggul dan mengaplikasi perkembangan digital dalam tadbir urus.

Selain itu, katanya, kemampanan ekonomi serta kesejahteraan rakyat di negeri ini turut dipacu oleh lapan bidang tumpuan iaitu ekonomi rakyat bagi mengupayakan ekonomi B40 dengan peruntukan sebanyak RM13.75 juta, pendidikan (RM9.9 juta), kebajikan (RM15 juta), pemerkasaan komuniti (RM21.09 juta), belia dan wanita (RM4.91 juta), kerohanian dan agama (RM6.32 juta), institusi adat (RM2.6 juta) dan pentadbiran (RM4.4 juta).

Persidangan DUN bersambung Isnin depan. - Bernama