Belanjawan 2021: Bukti BN terus bela kebajikan rakyat

NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS
NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 peringkat dasar semalam disambut baik semua pihak.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, keputusan yang mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang itu sememangnya ditunggu malah beberapa perubahan yang dibuat merupakan sebahagian daripada apa yang diperjuangkan Barisan Nasional (BN).

“Inilah perjuangan BN untuk membantu rakyat. Bukan kita menolak Belanjawan 2021 tetapi kita mahukan ia bersifat inklusif dan menyeluruh dalam membela kebajikan rakyat.

“Semoga pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana yang diharapkan rakyat selama ini dapat membantu sedikit sebanyak mereka yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi semalam.

Najmil Faiz berkata, beberapa berita gembira ditunggu rakyat terutama pengeluaran KWSP yang telah diperluaskan berbanding pengumuman kerajaan sebelum ini serta pengumuman lanjutan moratorium bagi mengurangkan bebanan rakyat.

“Semua pencarum KWSP boleh memohon mengeluarkan simpanan daripada akaun satu KWSP tidak kira sama ada mereka ahli pekerja sektor formal atau bekerja sendiri termasuklah yang aktif mencarum atau tidak.

“Kerajaan turut meluluskan moratorium ke atas pembayaran pinjaman bank diberi secara automatik kepada golongan B40 manakala moratorium untuk golongan M40 dan T20 perlu memohon kepada bank masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap keputusan ini memberi kelegaan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, intipati Belanjawan 2021 yang diumumkan kerajaan pada 6 November lalu mendapat pelbagai kritikan dan pendapat termasuk dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2021: Dipinda dan lulus untuk rakyat