6.4 juta rakyat Malaysia bakal terima vaksin Covid-19: PM

Muhyiddin (tengah) pada sidang akhbar khas mengenai vaksin di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini. Hadir sama, Khairy Jamaluddin (kiri) dan Dr Adham.
Muhyiddin (tengah) pada sidang akhbar khas mengenai vaksin di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini. Hadir sama, Khairy Jamaluddin (kiri) dan Dr Adham.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia bakal menerima sebanyak 12.8 juta dos vaksin koronavirus (Covid-19) bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia pada tahun depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer pada 24 November lalu untuk mendapatkan bekalan vaksin tersebut.

Jelasnya, perjanjian itu bertujuan untuk memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan di samping menjamin akses kepada vaksin tersebut sekiranya sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat tersebut.

"Pfizer pada 9 November 2020 menyatakan bahawa analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin tersebut adalah 95 peratus.

"Melalui perjanjian ini juga, Pfizer telah menjanjikan penghantaran sebanyak satu juta dos bagi suku pertama tahun 2021, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas mengenai vaksin di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Menteri, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Pfizer masih perlu mendapatkan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) serta kelulusan regulatori dari negara pengeluar.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, kelulusan juga perlu diperolehi daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum vaksin itu boleh digunakan di Malaysia.

"Terdahulu pada 22 November 2020, Malaysia melalui Menteri Kesihatan juga telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia.

"Sehubungan itu, kedua-dua perjanjian ini dijangka dapat menjamin akses vaksin Covid-19 untuk 30 peratus rakyat Malaysia," ujar beliau.

Muhyiddin (tengah) pada sidang akhbar khas mengenai vaksin di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini. Hadir sama, Khairy Jamaluddin (kiri) dan Dr Adham.
Muhyiddin (tengah) pada sidang akhbar khas mengenai vaksin di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini. Hadir sama, Khairy Jamaluddin (kiri) dan Dr Adham.

Perdana Menteri berkata, proses pemberian vaksin, setelah diperolehi nanti akan dilakukan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi yang mudah mendapat jangkitan Covid-19.

"Kumpulan berisiko tinggi ini termasuk petugas-petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit-pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan sebagainya.

"Seterusnya, vaksin ini juga akan diperluaskan kepada kumpulan sasar yang lain," tambahnya.

Menurut Muhyiddin, KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) masih giat meneruskan rundingan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin di seluruh dunia untuk mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19 yang secukupnya untuk rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan Kementerian Kesihatan bakal memulakan satu kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19 menerusi inisiatif Kerajaan-dengan-Kerajaan (G2G) bersama Republik Rakyat China (RRC).

"Vaksin ini dibangunkan oleh Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS).

"Kajian klinikal fasa tiga itu akan melibatkan sejumlah 3,000 peserta dan akan menilai keselamatan serta keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkan itu.

"Kajian yang dijangka bermula pada bulan Disember 2020 akan dikendalikan oleh Pertubuhan Kajian Klinikal (CRO) tempatan dan telahpun didaftarkan di dalam Daftar Kajian Perubatan Nasional (NMRR)," katanya.

Tambah beliau, profil keselamatan vaksin akan diteliti terlebih dahulu oleh NPRA untuk memperoleh Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL) dan protokol kajian akan dikaji oleh Jawatankuasa Etika dan Kajian Perubatan (MREC) bagi memastikan kajian yang akan dijalankan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.

"Kajian klinikal fasa ketiga itu juga akan melibatkan lapan buah pusat penyelidikan klinikal di bawah seliaan KKM," kata Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IMBCAMS yang akan berkolaborasi untuk menjalankan kajian klinikal fasa ketiga itu di Malaysia.

"Kerajaan juga ingin memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa vaksin yang akan digunakan di Malaysia mesti melepasi syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh NPRA.

"Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam soal ini," katanya.