Peragut kempunan beg tangan, aksi pula dirakam CCTV

Sedutan rakaman video memaparkan kejadian samun yang berlaku di Taman Kamariah, di sini semalam.
Sedutan rakaman video memaparkan kejadian samun yang berlaku di Taman Kamariah, di sini semalam.
A
A
A

GOMBAK - Seorang wanita berdepan detik cemas selepas menjadi mangsa cubaan ragut dalam kejadian di Taman Kamariah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian sekitar jam 11.15 pagi itu, beg tangan mangsa berusia 37 tahun itu disambar oleh seorang suspek yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dari arah belakang.

Menurutnya, mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki sempat bertindak balas dengan menarik semula beg daripada terlepas ke tangan suspek.

"Suspek kemudian terus melarikan diri sementara pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan atau kerugian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kejadian video cubaan samun itu tular di laman sosial dan turut dikongsikan di Facebook Info Roadblock JPJ/Polis malam tadi.

Mangsa dilihat baharu sahaja melintas jalan sebelum berhenti di sebuah unit berpagar dan ketika itu suspek yang menunggang motosikal secara bersendirian cuba menarik beg milik mangsa.

Mengulas lanjut Arifai berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Atikah di talian 03-6126 2222.

Artikel Berkaitan: