Sultan Johor titah tindakan segera jika positif Covid-19 di masjid, surau

Yahya Ahmad
Yahya Ahmad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya langkah berjaga-jaga dan tindakan segera serta tegas diambil kadi daerah dalam usaha membendung penularan koronavirus (Covid-19) di masjid dan surau seluruh negeri.

Titah tersebut disampaikan Sultan Johor kepada Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad pada hari ini berikutan terdapat beberapa pegawai, ahli jawatankuasa dan jemaah di masjid serta surau di beberapa daerah disahkan positif Covid-19 dan diarahkan kuarantin.

Menurut Yahya, baginda menitahkan supaya kadi daerah sentiasa merujuk Pegawai Kesihatan Daerah dan Pegawai Daerah untuk mengenal pasti kawasan, kampung atau taman yang disyaki berlaku jangkitan Covid-19.

"Sekiranya ada pegawai, ahli jawatankuasa dan jemaah disahkan positif, hendaklah diarahkan segera melakukan sanitasi seluruh premis masjid atau surau berkenaan.

"Jika dibimbangi menyebabkan penularan Covid-19 kepada orang lain, kadi boleh mengarahkan supaya masjid dan surau terlibat mengehadkan kehadiran jemaah untuk solat lima waktu atau solat Jumaat ke masjid atau surau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, jika keadaan lebih kritikal serta dibimbangi penularan sukar dikawal, kadi boleh mengarahkan masjid atau surau itu ditutup untuk tempoh yang munasabah supaya tindakan pembendungan boleh diambil sehingga keadaan kembali pulih.

Sementara jemaah di kariah berkenaan pula katanya, diarahkan supaya mengerjakan solat di rumah sahaja.

"Kadi juga dititah supaya terus mempergiatkan memberi peringatan agar ahli jawatankuasa masjid dan surau sentiasa mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

SOP berkenaan katanya, dikeluarkan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai usaha membendung penularan Covid-19.