Biji benih bernilai RM144,917 dirampas di LTAPP

Maqis Pulau Pinang merampas 8,400 paket biji benih di LTAPP kelmarin.
Maqis Pulau Pinang merampas 8,400 paket biji benih di LTAPP kelmarin.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 8,400 paket biji benih tumbuh-tumbuhan yang cuba dibawa masuk tanpa kebenaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, rampasan itu dibuat di Kompleks Kargo Udara Kedua LTAPP pada jam 1.55 petang kelmarin.

Menurutnya, pihaknya merampas enam bungkusan yang membawa pelbagai jenis biji benih tersebut dari India, China dan Belanda.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui enam bungkusan seberat 50,231 kilogram (kg) dan kesemua biji benih yang diletakkan di dalam kotak itu dianggarkan bernilai RM144,917.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zarina berkata, Maqis Pulau Pinang sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan lain di pintu masuk bagi isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan: