'Wang helikopter' tidak mustahil untuk dilaksana

Abdul Rahim Abdul Samad
Abdul Rahim Abdul Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Kaedah wang helikopter dianggap tidak mustahil untuk dilaksanakan di negara ini sebagai satu jalan keluar daripada kemelut ekonomi namun beberapa penelitian perlu dilakukan.

Menurut Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Abdul Samad, ia perlu mengikut kaedah-kaedah yang terkawal seperti dari segi bagaimana percetakan mata wang dilakukan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri perlu dijadikan satu badan bebas untuk menguruskan percetakan wang tersebut.

"Perlaksanaan mencetak wang ini ia berada di bawah tanggungjawab BNM. Jadi dari segi penciptaan dan pemusnahan wang itu adalah di bawah BNM.

"Jadi perkara ini perlu dilakukan dengan penuh penelitian. Saya nampak perkara ini tidak mustahil untuk dilaksanakan dengan beberapa penelitian kaedah yang diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Edisi Ke-211 bertajuk 'Wang helikopter: Selamat atau bunuh sistem ekonomi?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian di sini malam tadi.

Wacana itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Timbalan Pengarah Pusat IDEA-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Zulkefly Abdul Karim dan Timbalan Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Muhammad Zahid Abdul Aziz serta Herleena Pahlavy sebagai moderator.

Menyingkap semula bagaimana idea wang helikopter itu timbul, Dr Abdul Rahim memberitahu, ia ditimbulkan kerana keadaan ekonomi negara yang tidak stabil kesan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Ramai rakyat di luar sana khususnya yang makan gaji dan berniaga mengalami kesempitan hidup, kehidupan mereka terjejas. Jadi kerajaan memerlukan wang yang untuk menyokong perbelanjaan kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kenapa wang helikopter disebut? Wang helikopter adalah salah satu cara kerajaan untuk mendapatkan wang bagi menyokong perbelanjaan kerajaan," katanya.

Tambahnya, beliau percaya Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mengemukakan cadangan wang helikopter itu telah mengadakan perbincangan tentang idea itu sebelum ia disampaikan kepada rakyat.

"Cuma mungkin mesej itu tidak disampaikan dengan tepat. Kaedah itu sebenarnya memang boleh dilaksanakan cuma pastinya ada risiko yang pasti semua orang tahu.

"Risikonya menjurus kepada inflasi yang tinggi dan mungkin ke arah keruntuhan ekonomi dari segi susut nilai mata wang dan sebagainya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya kerajaan meneliti dan mengatasi apakah punca ke arah kesan negatif dengan pelaksanaan wang helikopter, kemungkinan negara boleh mencari jalan untuk melaksanakannya.

"Melalui kaedah yang betul dan terkawal, perkara ini tidak mustahil untuk dilaksanakan tapi kita kena ingat ada kesan negatif pada masa akan datang," katanya.