Operator kilang maut dirempuh pemandu mabuk

Kereta Mercedes Benz dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk melanggar sebuah motosikal ditunggang seorang operator kilang di Kilometer 4 Lebuhraya LEKAS, Kajang awal pagi tadi.
Kereta Mercedes Benz dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk melanggar sebuah motosikal ditunggang seorang operator kilang di Kilometer 4 Lebuhraya LEKAS, Kajang awal pagi tadi.
A
A
A

KAJANG - Seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk dalam kejadian di Kilometer 4 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi, kereta Mercedes Benz yang dipandu lelaki berusia 41 tahun itu dalam perjalanan dari pekan Kajang menghala ke Plaza Tol Lekas.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol itu melanggar dari arah belakang sebuah motosikal jenis Modenas dinaiki seorang lelaki berusia 37 tahun.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menurut saksi yang melihat kejadian memaklumkan kereta itu dipandu laju dalam keadaan ‘zig zag’ selepas melepasi Plaza Tol Lekas sebelum merempuh motosikal mangsa.

Katanya, ujian alkohol dilakukan terhadap pemandu itu mendapati kandungan alkohol melebihi paras dibenarkan.

"Soal siasat pemandu terbabit mengaku ada minum minuman keras sebelum kejadian," katanya.

Tambahnya, pemandu terbabit yang tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan: