Penduduk berang polis belasah lelaki kulit hitam di Paris

Seorang produser muzik yang dikenali sebagai Michel (kiri) bercakap kepada pemberita selepas dia dibelasah oleh tiga pegawai polis pada satu sidang akhbar di Paris semalam. - Foto AFP
Seorang produser muzik yang dikenali sebagai Michel (kiri) bercakap kepada pemberita selepas dia dibelasah oleh tiga pegawai polis pada satu sidang akhbar di Paris semalam. - Foto AFP
A
A
A

PARIS - Satu rakaman video menunjukkan beberapa pegawai polis memukul seorang produser muzik lelaki berkulit hitam di Paris pada Sabtu lalu sekali gus mencetuskan kemarahan dan kutukan di Perancis semalam.

Laman web berita Loopsider semalam menyiarkan imej menunjukkan tiga pegawai polis menumbuk, menendang dan menggunakan belatan bagi memukul produser tersebut yang dikenali sebagai Michel.

Imej daripada kamera keselamatan itu juga memperlihatkan Michel dipukul semasa dia memasuki studionya di Paris pada Sabtu lalu.

Insiden produser itu dibelasah berlaku selama kira-kira lima minit.

Michel mendakwa berulang kali dia menjadi mangsa penderaan perkauman sebelum diheret keluar dari studionya itu.

Dia pada awalnya ditangkap kerana melakukan keganasan dan gagal mematuhi arahan polis.

Namun, para pendakwa raya membuang kesnya.

Sebaliknya, polis membuka satu siasatan terhadap pegawai-pegawai polis itu kerana melakukan keganasan ketika bertugas.

Artikel Berkaitan:

Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin memberitahu stesen televisyen Perancis bahawa pegawai tersebut telah mencemarkan pasukan polis dan beliau akan meminta supaya mereka disingkirkan.

Sumber-sumber polis menyatakan, empat pegawai polis digantung tugas berhubung kejadian itu.

"Mereka yang sepatutnya melindungi saya telah menyerang saya. Saya tidak melakukan apa-apa. Saya cuma mahu tiga orang Ini (pegawai polis) dihukum kerana kami mempunyai sistem keadilan yang baik di Perancis," kata Michel kepada para pemberita semalam.

"Saya bertuah kerana mempunyai video (yang menunjukkan kejadian itu) tidak seperti orang lain," tambahnya.

Ketika tanda pagar #Michel menjadi popular di media sosial Perancis, ahli-ahli politik dan beberapa pemain bola sepak yang bermain untuk negara itu pada Piala Dunia 2018 mengutuk perbuatan tersebut.

Bintang bola sepak seperti Antoine Griezmann, Samuel Umtiti dan Kylian Mbappe telah membidas perbuatan pegawai-pegawai polis itu.

"Keganasan yang tidak boleh diterima," kata Mbappe menerusi Twitter berhubung kejadian itu. - AFP