PGA Sarawak waspada kawal sempadan Malaysia-Indonesia

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali (kiri) dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Sarawak yang baharu, Senior Asisten Komisioner Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali pada majlis serah terima tugas di Dewan Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak (IPK) hari ini. Foto: Bernama
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali (kiri) dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Sarawak yang baharu, Senior Asisten Komisioner Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali pada majlis serah terima tugas di Dewan Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak (IPK) hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUCHING - Tiada kes penyeludupan bersenjata dilaporkan di Sarawak setakat ini, namun Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak tetap berwaspada bagi menghadapi kemungkinan itu ketika mengawal sempadan Malaysia-Indonesia dan perairan negara, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

Beliau berkata, PGA Sarawak juga mempunyai pasukan khas bagi memantau aktiviti penyeludupan di negeri berkenaan.

“Kita tidak boleh mengambil ringan perkara yang berlaku di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini dan kita akan terus memastikan anggota-anggota yang melakukan kawalan sempadan sentiasa bersiap sedia menghadapi apa sahaja ancaman,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden awal pagi Selasa lalu yang menyaksikan anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Sarjan Norihan Tari, 39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 (Tembok Sempadan) di Padang Besar, Perlis.

Terdahulu, Aidi menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak yang baharu, Senior Asisten Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dengan Timbalan Ketua JSJ Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali yang sebelum ini memangku jawatan tersebut di Ibu Pejabat Polis kontinjen Sarawak di sini.

Sementara itu, Mohd Salahuddin, yang sudah 25 tahun berkhidmat, percaya dapat membantu mengurangkan lagi kes jenayah indeks di Sarawak

“Jenayah indeks di Sarawak secara purata dalam sehari adalah 40 kes ke bawah dan saya percaya kadar indeks ini boleh diturunkan lagi selepas ini,” katanya semasa berucap pada majlis itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Mendiang Koperal Baharuddin selamat dikebumikan

PM sedih anggota PGA maut ditembak penjenayah

'Bapa pernah cakap mungkin nanti kena tembak'

Insiden tembak anggota PGA: Polis buru suspek utama

18 lelaki direman kes tembak anggota PGA di sempadan

Artikel Berkaitan: