Balogun mahu kekal di Emirates: Arteta

Balogun (tengah) diraikan rakan-rakan sepasukan setelah menjaringkan gol pada aksi Liga Europa di Stadion Aker awal pagi semalam. - Foto gettyimages
Balogun (tengah) diraikan rakan-rakan sepasukan setelah menjaringkan gol pada aksi Liga Europa di Stadion Aker awal pagi semalam. - Foto gettyimages
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mendedahkan pemain muda dari Ivory Coast, Folarin Balogun telah meluahkan hasrat untuk terus beraksi bersama skuad The Gunners itu.

Arteta berkata, biarpun kontrak pemain dari Ivory Coast itu bakal tamat pada 2021 kelak, Balogun telah beraksi cemerlang pada aksi Liga Europa dan membantu kemenangan 3-0 ke atas kelab Norway, FK Molde di Stadion Aker, awal pagi semalam.

Justeru menurut Arteta, pihaknya juga mahu Balogun terus beraksi di Emirates dan baharu mengenai kontrak baharu pemain berkenaan akan dibincangkan.

“Dia mahu terus beraksi bersama Arsenal. Kita berikannya peluang dan dia telah memanfaatkannya dengan baik.

“Dia telah bekerja keras di sebalik kepayahan yang dihadapi dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini termasuk spekulasi mengenai dirinya, namun ia telah berjaya ditangani dengan penuh kematangan,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Arsenal memperoleh gol menerusi Nicolas Pepe pada minit ke-50, Reiss Nelson pada minit ke-55 dan Balogun pada minit ke-83.

Kemenangan berkenaan menyaksikan skuad The Gunners itu gah selaku pendahulu kumpulan B dengan 12 mata hasil empat kemenangan daripada empat perlawanan.

Ia sekali gus mengesahkan kemaraan Arsenal ke pusingan kalah mati biarpun masih berbaki dua perlawanan untuk ditamatkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Arteta berkata, dia juga gembira dengan prestasi Balogun yang dilihat bukan sahaja mampu menjaringkan gol tetapi turut membantu mencipta beberapa peluang gol bagi rakan-rakan sepasukan.

“Saya dapat melihat perkara ini sejak dari awal perlawanan lagi dan bagi saya, dia telah memberikan aksi yang cukup baik.

“Dia turut menjaringkan gol tetapi dalam masa sama dia dilihat bekerja keras membantu kejayaan pasukan," katanya.