Tidak timbul soal jadi hero, kata Hanipa

Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin bersikap terbuka dengan tindakan ahli-ahli Parlimen yang tidak bangun berdiri bagi menyokong undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 semalam.

Beliau berkata, biarpun Pakatan Harapan (PH) dan PH Plus gagal melakukan undi belah bahagi dan kalah dalam pertempuran tetapi mereka akan memastikan rakyat memenangi ‘peperangan’ ini.

Menurutnya, dari segi prosedur Parlimen, penentuan kelulusan belanjawan hanyalah ketika bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 dan ketika itu ia bakal menjadi penentu.

“Sudah tentu, mereka rasa gembira bila melihat apa yang berlaku semalam di Parlimen. Apatah lagi para penyokong PH Plus juga kecewa dan mengkritik pedas PH Plus.

“Ya, ramai yang kecewa. Saya tak mahu apologetik. Kami juga hakikatnya kecewa seperti anda semua.

“Untuk kerajaan tebuk atap yang khianat, kami mungkin kalah pertempuran, tetapi kami dan rakyat akan memenangi perperangan ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu hanya 13 orang pembangkang bangun panas di media sosial

Ada arahan PH minta ahli Parlimen tidak undi belah bahagi>

Artikel Berkaitan:

Anthony Loke mengaku arah ahli Parlimen DAP tidak bangun

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi 13 ahli Parlimen yang berdiri menyokong undi belah bahagi semalam, mereka telah menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong PH dan PH Plus.

Menurutnya, dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional (PN) pula, ahli-ahli Parlimen yang berdiri menerima pelbagai kecaman dan makian.

Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen Seremban daripada DAP, Anthony Loke telah memberi sebab bahawa adanya saranan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak menyokong undi belah bahagi yang menyebabkan ahli-ahli Parlimen DAP mengikut saranan tersebut.

Mohamed Hanipa juga percaya Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu juga tidak sempat menyalurkan saranan tersebut kepada ahli-ahli Parlimen Amanah yang lain termasuk kepada dirinya.

“Ya, Presiden dan Timbalan Presiden Amanah (Datuk Seri Salahuddin Ayub) walaupun berhasrat untuk bangun, membatalkan hasrat untuk bangun kerana menghormati saranan ketua pembangkang.

“Kami percaya, mungkin Presiden Amanah tidak sempat atau terlepas pandang untuk salurkan saranan ketua pembangkang tersebut kepada ahli Parlimen Amanah.

“Oleh itu, kami yakin, tiada sebarang masalah untuk kami bangun menyokong Pokok Sena semalam. Tidak timbul sama sekali soal untuk jadi hero atau wira,” katanya lagi.

Kisah semalam. 1. Bermula dari petang semalam hingga beberapa hari berikutnya, kita telah dan mungkin akan terus...

Posted by Peguam PAS - Dulu on Thursday, November 26, 2020