Kerajaan setuju aktifkan semula MMN

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju mengaktifkan semula Majlis Mineral Negara (MMN) berikutan negara ini kaya dengan sumber mineral semula jadi dan masih ada lagi sumber tersebut yang belum diterokai.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, mesyuarat pertama berhubung perkara itu dijangka diadakan pada penghujung tahun ini.

Katanya, MMN bakal bertindak sebagai platform tertinggi melibatkan keahlian kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di mana secara khususnya ia akan menjadi platform untuk penyelarasan dasar dan menangani isu-isu berkaitan pembangunan industri mineral di dalam negara.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) juga sedang membangunkan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) yang merupakan satu dasar utama bertujuan untuk meningkatkan daya saing industri mineral dalam setiap rantaian nilai.

“Pelan ini akan menggariskan strategi dan pelan tindakan untuk menggerakkan industri-industri sokongan yang mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara serta mengurangkan pengeksportan bahan mineral dan batuan secara mentah,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya semalam.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, hala tuju baharu pembangunan industri mineral negara bakal menekankan kepada aspek kelestarian dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Menurutnya, beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah dibangunkan bermula dengan dokumen SOP Bauksit Negeri Pahang, Terengganu dan Johor yang telah diguna pakai.

“Pada masa ini, kementerian sedang memuktamadkan satu lagi SOP iaitu SOP Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE).

Artikel Berkaitan:

“SOP ini menggariskan prosedur dan amalan terbaik aktiviti perlombongan NR-REE yang merangkumi tiga fasa iaitu pra, semasa dan pasca perlombongan,” katanya.

Shamsul Anuar berkata, KeTSA juga dalam tindakan melaksanakan pengezonan kawasan sumber mineral.

“Ia bertujuan bagi memastikan industri mineral dapat terus dibangunkan tanpa menjejaskan komitmen 50 peratus daripada keluasan tanah negara yang dikekalkan sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok-pokok,” katanya lagi.