Masjid lantik AJK bukan Islam

Wei Ling (kanan) dan Sathiasilan (dua dari kanan) bersama AJK masjid menyusun barangan keperluan yang akan diagihkan kepada keluarga memerlukan.
Wei Ling (kanan) dan Sathiasilan (dua dari kanan) bersama AJK masjid menyusun barangan keperluan yang akan diagihkan kepada keluarga memerlukan.
A
A
A

SEREMBAN - Melantik orang bukan Islam sebagai ahli jawatankuasa (AJK) masjid boleh dianggap keputusan tidak wajar oleh kebanyakan orang, namun itulah yang dilakukan oleh Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang di sini.

Tindakan berani itu diputuskan oleh jawatankuasa masjid berkenaan antara lain bertujuan mendekatkan komuniti bukan Islam dengan institusi masjid selain memperlihatkan agama Islam sebagai menyebar rahmah.

Pengerusinya, Zulkifli Muhamed berkata, bukan satu perkara baharu penglibatan penduduk bukan Islam di situ dalam program kemasyarakatan dianjurkan oleh pihak masjid.

"Di Taman Rasa Sayang ini ada 200 buah rumah yang mana tiga daripadanya dihuni keluarga berbangsa India dan 18 berbangsa Cina.

"Walaupun tidak ramai, tapi kita tidak pernah pinggirkan mereka dan apa sahaja program bersesuaian dianjurkan, kita ajak turut serta dengan harapan ia dapat beri mesej positif kepada mereka," katanya.

Oleh sebab itu katanya, melihat kesepakatan yang ada dalam kalangan penduduk di situ, pihak masjid bersepakat melantik AJK masjid tambahan dari kalangan India dan Cina secara rasmi pada September lalu.

Beliau bagaimanapun mengakui tindakan pihaknya itu akan menimbulkan persoalan dan salah faham orang Islam, namun sejak pelantikan dua AJK bukan Islam itu, ia memberikan reaksi positif.

"Pelantikan mereka bukan bermakna mereka perlu masuk Islam atau mereka kena hadir program keagamaan dianjurkan tapi kita mahu meletakkan orang bukan Islam sebagai satu subjek atau agenda masjid untuk ambil cakna kerana ia adalah sebahagian cara pemahaman Islam sebenar.

Artikel Berkaitan:

"Kita selalu sebut perpaduan tapi bila soal keagamaan ada di antara kita mula skeptikal antara satu sama lain. Dengan keterbukaan masjid menerima mereka sebagai AJK, ia dapat melahirkan masyarakat berbilang kaum yang lebih memahami dan terbuka, " katanya.

Sementara itu, AJK yang mewakili penduduk India, A Sathiasilan,65, berkata, beliau pada mulanya agak terkejut dengan pelawaan itu kerana menganggapnya luar biasa.

Sathiasilan
Sathiasilan

"Tapi apabila pihak masjid terangkan tujuan sebenarnya, maka saya terimanya dengan hati terbuka kerana ia sangat baik dalam memperkukuhkan kefahaman kita antara kaum dan agama.

"Lagipun sepanjang 29 tahun saya tinggal di taman ini, saya sudah terlibat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dianjurkan dan tidak pernah rasa terpinggir. Kami seperti satu keluarga di sini," katanya kepada Sinar Harian.

Begitu juga dengan Chew Wei Ling, 39, yang mengakui turut terkejut apabila dipelawa untuk berada dalam komuniti AJK masjid kerana ia tidak pernah berlaku pada mana-mana masjid sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, sejak dua bulan terlibat, beliau seronok dan berpendapat konsep sebegitu boleh memberi satu budaya harmoni masyarakat berbilang kaum khusus kepada generasi muda.

"Saya juga dapat belajar benda baharu antaranya tulisan Jawi menerusi program dianjurkan dan turut diberi peluang menyumbang idea menerusi program kemasyarakatan yang mahu diadakan," katanya